Search This Blog

Sunday, February 16, 2014

103 terkandas


Kuala Lumpur: “Setakat ini, keadaan masih terkawal, dan semua pelajar dalam keadaan selamat dan belum ada keperluan untuk memindahkan mereka. Sekiranya berlaku keadaan teruk, kedutaan akan mengeluarkan arahan berpindah dan mengaktifkan pelan bencana.
“Kebanyakan pelajar Malaysia pada masa ini masih berada di tanah air menghabiskan cuti semester,” kata Ketua Canseri yang juga Penasihat Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta Raja Mohamad Nizam Raja Kamarul Baharin.

Pada masa ini masih terdapat seramai 18 pelajar di Malang daripada jumlah keseluruhan seramai 103 orang, manakala di Surabaya seramai lima orang (daripada 136 orang), enam orang di Solo (daripada 120 orang) dan 250 pelajar di Yogyakarta (daripada 340 pelajar).
Menurutnya, pihak pemerintah meramalkan tiada letupan akan berlaku dari gunung Kelud lagi dan keadaan akan beransur pulih dalam masa terdekat.

Katanya, pihaknya sudah menasihatkan pelajar yang masih berada di sana supaya mengelak daripada melakukan aktiviti luar dan tinggal di dalam rumah.

Raja Mohamad Nizam berkata, rakyat Malaysia yang berada di negara itu juga dinasihatkan menggunakan jalan darat untuk pulang ke negara menerusi lapangan terbang antarabangsa di Jakarta. Beliau berkata, tiga lapangan terbang antarabangsa di pulau itu sudah ditutup akibat debu tebal dan rakyat Malaysia dinasihatkan supaya tidak menunggu lapangan terbang itu dibuka semula memandangkan usaha membersihkan debu gunung berapi itu mungkin mengambil masa yang agak lama.
Foto
SEBAHAGIAN penumpang penerbangan ke Indonesia terkandas di LCCT berikutan penerbangan ditunda.
“Seperti yang dapat dilihat menerusi media, kawasan sekitar 10 kilometer radius dari gunung itu diselaputi debu tebal. Oleh itu, jika ada warga Malaysia di dalam kawasan itu, mereka boleh menggunakan jalan darat untuk ke Jakarta.

“Bagaimanapun, sehingga kini, tidak ada rekod berapa ramai rakyat kita sama ada yang datang melancong atau bekerja di sini dan kami berharap mereka membuat laporan sekiranya terbabit dalam insiden itu, “katanya ketika dihubungi Harian Metro di sini, semalam.
Kelmarin, tiga lapangan terbang antarabangsa di Surabaya, Solo dan Yogyakarta terpaksa ditutup selepas gunung berapi di Jawa Timur meletuskan lahar menyebabkan jarak penglihatan terhad.

Situasi itu membahayakan keselamatan penumpang kapal terbang apabila debu tebal yang berterbangan boleh menyebabkan kerosakan teruk kepada enjin pesawat. Raja Mohamad Nizam berkata, warga Malaysia di negara itu perlu sentiasa berhubung di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta bagi mengetahui perkembangan dan arahan terkini susulan kejadian itu.

Beliau berkata, mereka boleh menghubungi talian +62 21 5224947 di samping berhubung dengan ahli keluarga di Malaysia. “Kami juga sentiasa memantau perkembangan bencana itu dari masa ke masa dan menugaskan kaki tangan untuk membantu warga Malaysia jika ada yang terjejas teruk susulan letupan gunung berapi itu,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/16

No comments:

Post a Comment