Search This Blog

Friday, January 24, 2014

Warga emas rentung dalam kebakaran


24 Januari 2014

Warga emas rentung dalam kebakaran
Warga emas rentung dalam kebakaran Anggota polis mengangkat mayat seorang warga emas, Thum Pek Guan, 75, yang rentung dalam satu kebakaran di sebuah rumah di Kampung Paya Terubong di Georgetown hari ini. - Foto Bernama



GEORGETOWN - Seorang wanita warga emas berumur 75 tahun rentung apabila rumah sewanya terbakar di Kampung Paya Terubong, dekat sini hari ini.

Mayat Thum Pek Guan ditemui dalam keadaan terbaring di belakang rumah itu selepas gagal menyelamatkan diri dalam kejadian 1.10 petang itu.

Ketua Balai Bomba Paya Terubong, Poh Leong Soon berkata, Thum tinggal seorang diri di rumah papan itu, yang bersambung dengan sebuah premis membuat kotak meter elektrik sejak lapan tahun lepas.

Beliau berkata, sebuah jentera bomba bersama 11 anggota dan pegawai ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan daripada orang awam.

"Kami dapati kebakaran hanya melibatkan bahagian belakang premis berkenaan yang menempatkan rumah mangsa sahaja. Mangsa dipercayai cuba menyelamatkan diri tetapi gagal kerana rumah itu hanya mempunyai satu pintu keluar dan masuk," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Menurutnya mangsa mungkin mengalami sesak nafas sehingga mengakibatkannya rebah sebelum rentung dalam kebakaran itu.

Punca dan kerugian akibat kebakaran itu masih dalam siasatan. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat.


Sementara itu di LAHAD DATU, seorang wanita warga emas mati rentung dalam kebakaran rumah anaknya di Taman Pertama dekat sini, hari ini.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu, Mohd Apandi Mahmud berkata, Ressurecion Partigo, 89, warga Filipina, terperangkap di tingkat atas rumah dua tingkat itu ketika kebakaran itu.

Katanya pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 11.56 pagi lalu menghantar sebuah jentera bersama tujuh anggota ke lokasi kebakaran.

Ketika tiba di lokasi sembilan minit kemudian, api sudah merebak di tingkat bawah rumah itu dan dikawal pada 12.30 tengah hari, katanya ketika dihubungi Bernama.

"Mayat mangsa ditemui dalam keadaan rentung selepas api dapat dipadam sepenuhnya pada 1.55 petang," katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk dibedah siasat.

Mohd Apandi berkata, anak, menantu dan tiga cucu mangsa dapat menyelamatkan diri daripada kebakaran itu. - Bernama

No comments:

Post a Comment