Search This Blog

Thursday, January 2, 2014

Warga emas keluar joging ditemui mati ditikam


Georgetown: Seorang lelaki warga emas yang sering berjoging, ditemui mati dipercayai ditikam selepas terbabit dalam satu pergaduhan berhampiran sebuah pangsapuri di Tanjung Bungah di sini, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 6.30 pagi apabila mangsa, Ang Cheng Ho, 64, ditemui dengan beberapa kesan tikaman di leher, perut dan bahagian badan lain oleh seorang pengawal keselamatan yang bertugas di pangsapuri berhampiran.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, mangsa ditemui terbaring di atas batu berhampiran dinding dalam keadaan berlumuran darah selepas dikatakan baru pulang daripada berjoging.

Menurutnya, mangsa dipercayai terbabit dalam satu pergaduhan dengan seorang lelaki di situ sebelum ditikam.

Katanya, mangsa yang tidak bekerja itu mempunyai tiga anak berjoging setiap hari.

“Berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai ditikam selepas terbabit dalam pergaduhan dengan seorang suspek, tetapi tidak dapat dipastikan punca kejadian sebenar.

“Polis juga turut menemui sebilah pisau berhampiran tempat kejadian dan siasatan lanjut mendapati pisau berkenaan milik mangsa yang dipercayai digunakan untuk mempertahankan diri.

“Kami menolak kemungkinan motif kejadian berkaitan samun kerana dompet, telefon bimbit dan dokumen lain milik mangsa tidak dilarikan atau dicuri,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Mazlan berkata, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat.

Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian diminta dapat menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di talian 04-2181822 atau balai polis berhampiran.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/02

No comments:

Post a Comment