Search This Blog

Monday, January 13, 2014

Usahawan mati, anak gadis melecur teruk


2014/01/13
Ampang: Seorang ahli perniagaan mati, manakala anak perempuannya berusia 17 tahun melecur teruk dalam kebakaran rumah mereka di Pandan Perdana, di sini petang semalam.

Kejadian kira-kira jam 5.40 petang itu dipercayai mempunyai kaitan dengan unsur khianat berdasarkan kesan kelar pada tangan kanan ahli perniagaan berusia 52 tahun terbabit, Ng Chee Wai, 52. Mayat mangsa ditemui di bilik tidur utama di tingkat atas rumah berkenaan.


Difahamkan, kebakaran bermula dari sofa di ruang tamu tingkat bawah rumah teres dua tingkat di Jalan Perdana 10/1 itu yang dipercayai sengaja dibakar.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Zon Hulu Langat, Hamdan Daud, berkata dua jentera bersama 15 anggota bomba dihantar ke lokasi, tetapi sebaik tiba mendapati kebakaran sudah dipadamkan dengan bantuan jiran dan orang ramai.

“Selepas dimaklumkan jiran ada dua mangsa dalam rumah berkenaan, anggota bomba masuk ke dalam kediaman itu ketika asap tebal. Di tingkat atas, ahli perniagaan itu ditemui terbaring dalam bilik tidur utama berlumuran darah.

“Anak perempuannya pula melecur hampir 70 peratus badan, ditemui tidak jauh dari mayat bapanya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Katanya, mayat mangsa dan anaknya, Ng Qi Jang, dihantar ke Hospital Ampang, masing-masing untuk bedah siasat serta rawatan dan siasatan lanjut sedang dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran berkenaan.

No comments:

Post a Comment