Search This Blog

Sunday, January 19, 2014

Tragedi rombongan zikir


Oleh RABI 'ATUL 'ADAWIYAH ISMAIL dan AKHMARUDDIN AHMAT
Mukah: “Saya difahamkan abang ipar, Riji Dolol 60, antara penumpang yang berada dalam bot panjang terbabit, namun sehingga kini nasibnya masih belum diketahui,” kata seorang wartawan akhbar tempatan Aini Selikang mengenai kejadian bot karam berhampiran Kampung Kut, Pulau Bruit di Daro dalam Bahagian Mukah, di sini semalam.

Dalam kejadian jam 1.40 tengah hari itu, tiga penumpang bot berkenaan disahkan lemas, manakala lapan lagi masih hilang.

Katanya, dia difahamkan abang iparnya menyertai kumpulan zikir dari Kampung Tekajong yang terdiri daripada ahli berusia lingkungan 20 hingga 60-an ke Kampung Saie di Pulau Bruit untuk membuat persembahan di majlis perkahwinan.

“Kumpulan terbabit dalam perjalanan pulang dan sebaik tiba di perairan berhampiran Kampung Kut, Pulau Bruit bot panjang itu terbalik akibat dipukul ombak.

Foto
PENDUDUK mengangkat mayat mangsa bot terbalik di Kampung Kut, Daro, dekat Mukah.

Foto
PENDUDUK dan keluarga menunggu berita mangsa bot di jeti.

“Mereka baru setengah jam memulakan perjalanan pulang dan keadaan laut ketika itu bergelora,” katanya ketika dihubungi.




Dalam kejadian itu, bot panjang yang dinaiki 27 penumpang itu terbalik, 16 penumpang berjaya menyelamatkan diri manakala lapan masih hilang.

Sehingga jam 6.30 petang semalam, tiga mayat penumpang wanita yang masih belum dikenal pasti identiti ditemui kira-kira 20 meter dari lokasi kejadian.

Aini berkata, sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu, dia cuba menghubungi abang ipar tetapi telefon bimbitnya tidak diangkat.

Katanya, dia yang tinggal di Sarikei bergegas ke lokasi kejadian yang mengambil masa kira-kira tiga jam.

“Abang ipar saya pandai berenang tetapi dalam keadaan panik seperti itu, tidak pasti sama ada dia terselamat atau tidak. Kami sekeluarga berdoa dia terselamat dalam kejadian itu.

“Sehingga petang ini (semalam), saya masih menunggu laporan daripada pihak berkuasa dan maklumat daripada penumpang lain yang terselamat.

“Difahamkan, di tempat kejadian tiada liputan talian telefon selain itu juga untuk ke sana mengambil masa yang agak panjang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/19

No comments:

Post a Comment