Search This Blog

Friday, January 24, 2014

Tiga pengedar dadah dicekup


KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN
24 Januari 2014

Tiga pengedar dadah dicekup
Tiga pengedar dadah dicekup Mat Fauzi(kiri) menunjukkan paket lutsinar berisi dadah heroin yang dirampas polis dalam satu operasi tangkapan di Kampung Kedah, Parit Buntar.



BAGAN SERAI - Cubaan tiga pengedar dadah menjadikan sebuah stesen minyak sebagai transit pengedaran dadah tidak berhasil apabila mereka dicekup polis dalam satu serbuan di Kampung Kedah, Parit Buntar, 22 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, pada jam 12.15 pagi, bertindak di atas maklumat awam, sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Negeri (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak diketuai Asisten Superintendan Mohd Fikri Hashim menahan tiga lelaki warga tempatan yang sedang berurus niaga di sebuah stesen minyak di Kampung Kedah, Parit Buntar.

Menurutnya, tangkapan ke atas kesemua suspek dibuat ketika seorang suspek dikenal pasti sedang menyerahkan sejumlah dadah kepada seorang pembekal tempatan, manakala dua suspek lagi berada di sekitar lokasi tersebut untuk memantau pergerakan sekeliling.

“Tindakan pantas pasukan polis berjaya mencekup ketiga-tiga suspek termasuk seorang daripadanya sedang memegang barang kes, manakala si pembeli berjaya melarikan diri dengan menaiki kereta.

“Hasil penahanan dan pemeriksaan ke atas kesemua suspek membolehkan kami merampas lima paket besar plastik lutsinar berisi dadah heroin seberat 2305.35 gram.

“Selain itu, polis turut merampas sebuah motosikal jenis Yamaha bernombor pendaftaran Pulau Pinang dan dua telefon bimbit digunakan suspek sewaktu transaksi sedang dijalankan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian, di sini semalam.

Mat Fauzi berkata, kesemua suspek ditahan berusia lingkungan 22 hingga 31 tahun, dikenal pasti berasal dari Pulau Pinang dan seorang daripadanya merupakan pengantin baharu.

Menurutnya, semakan ke atas rekod jenayah suspek mendapati seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri, manakala dua lagi tiada rekod jenayah.

“Polis turut menganggarkan dadah dirampas bernilai RM120,000 mengikut pasaran tempatan dan dipercayai cuba disalurkan kepada pengedar tempatan untuk pasaran daerah Kerian.

“Kesemua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 28 Januari ini di lokap IPD Kerian dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 atas kesalahan mengedar dadah,” katanya.

Mat Fauzi berkata, tangkapan terhadap tiga suspek pengedar dadah terbabit adalah kejayaan terbesar IPD Kerian pada awal 2014.

“Berikutan kejayaan itu, kami berjanji akan lebih komited untuk memerangi kegiatan mengedarkan dadah di daerah Kerian selain memastikan hasrat mengurangkan kadar jenayah tercapai,” katanya.

No comments:

Post a Comment