Search This Blog

Wednesday, January 15, 2014

Tiada siapa guna

Oleh Fazurawati Che Lah
Cheras: Jejantas bernilai ratusan ribu ringgit yang siap dibina berhampiran Flat Sri Pulau Pinang dan Flat Sri Sabah di sini, pada 2012 ibarat gajah putih kerana tidak digunakan penduduk.
Sebaliknya penduduk lebih rela membahayakan diri melintas dua lorong Jalan Loke Yew berkenaan untuk ke seberang jalan setiap hari.

Tinjauan di jejantas berkenaan mendapati kemudahan itu tidak lagi digunakan penduduk sekitar sejak dua tahun lalu dan keadaannya kelihatan tidak terurus.
Di kawasan tangga dipenuhi dengan sampah, termasuk botol minuman keras, penutup botol dan serpihan kaca, manakala lif yang disediakan untuk kemudahan orang kelainan upaya (OKU) tidak berfungsi dan kini ditumbuhi pokok menjalar sehingga menampakkan kemudahan itu menyeramkan.

Keadaan ini menyebabkan penduduk kedua-dua flat itu tidak berani untuk menggunakan jejantas tersebut kerana keadaannya memberi gambaran yang menakutkan.

Penduduk N Ramunadhan, 36, berkata, sewaktu menjadi pengawal keselamatan di jejantas itu, keadaan ia elok dan terjaga berbanding sekarang yang dipercayai menjadi ‘port’ individu mabuk untuk tidur.
Foto
JEJANTAS yang siap dibina pada 2012 tidak dapat digunakan penduduk.
“Projek ini sememangnya membazir sahaja kerana tiada orang yang menggunakan jejantas ini. Ini kerana jejantas itu terlalu tinggi dan lif juga tidak berfungsi.

“Sepatutnya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) harus menjaga jejantas itu dengan baik supaya orang ramai dapat menggunakan. Jika lif disenggara dengan baik, mungkin akan lebih ramai orang yang akan menggunakannya,” katanya.
Tinjauan juga mendapati kebanyakan penduduk sekitar sanggup membahayakan diri melintas jalan berkenaan tanpa menghiraukan kenderaan yang bertali arus.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/15

No comments:

Post a Comment