Search This Blog

Wednesday, January 8, 2014

Tiada lagi pekerja warga asing


Muhyiddin Yassin bersama Ahmad Zahid Hamidi (kanan) sebelum mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin (JKKPA-PATI) ke-11 di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam.
KUALA LUMPUR 7 Jan. - Semua restoran berkonsepkan makanan segera tidak dibenarkan menggaji pekerja asing, sebaliknya keutamaan perlu diberikan kepada warga tempatan untuk mengisi kekosongan pekerjaan tersebut.
Keputusan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin kali ke-11 yang diadakan di sini hari ini.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat itu menegaskan, kerajaan memandang serius perkara tersebut memandangkan masih ramai lagi warga tempatan yang berminat untuk bekerja di restoran makanan segera.
''Kemahiran memasak bagi restoran berkonsep makanan segera tidak tinggi atau sukar berbanding restoran biasa yang menghidangkan pelbagai jenis makanan atau masakan. Kaedah penyediaannya mudah dipelajari melalui latihan.
''Oleh itu, bidang pekerjaan di restoran-restoran makanan segera menjadi pilihan dan tarikan warga tempatan terutamanya golongan muda, pelajar lepasan sekolah dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT)," menurut kenyataan itu di sini hari ini.
Mesyuarat selama dua jam setengah itu dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Yang turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek.
Selain itu, yang turut sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Menurut kenyataan itu lagi, pembabitan mereka adalah untuk mendapatkan pendedahan dan sumber pendapatan sama ada bekerja secara separuh masa atau sepenuh masa dalam industri pemakanan.
Tambah kenyataan itu lagi, jawatankuasa turut menimbang dan bersetuju untuk memanjangkan mekanisme antara kerajaan Malaysia dengan kerajaan Bangladesh bagi mengisi kekosongan sektor perladangan kelapa sawit di Sarawak.
''Perkara itu diputuskan selepas melihat impak positif pelaksanaan mekanisme tersebut di Semenanjung Malaysia," katanya.
Mengenai kaedah kawalan kemasukan pula, tapisan keselamatan dan saringan kesihatan kedua-dua negara mampu menangani masalah yang sering kali timbul berhubung penggajian pekerja asing.
Kenyataan itu turut mengingatkan majikan yang mendakwa telah ditipu oleh ejen atau orang tengah semasa program 6P hadir ke Pusat Kelulusan Setempat (OSC) untuk diteliti permohonan mereka.
"Adalah diharapkan majikan hadir lebih awal ke OSC bagi mengelakkan sebarang kesulitan sebelum tamatnya Program Khas Pengurusan Pendatang Tanpa Izin pada 20 Januari nanti.
''Selepas tamatnya program ini, kerajaan akan memastikan aktiviti penguatkuasaan dilaksanakan dengan lebih tegas dan berterusan agar keselamatan dan ketenteraman awam terjamin," menurut kenyataan tersebut.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140108/dn_01/Tiada-lagi-pekerja-warga-asing#ixzz2pnFOg4qk
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment