Search This Blog

Sunday, January 26, 2014

‘Tiada lagi ciuman pagi’


Oleh Hadzlihady Hassan
Georgetown: “Tiada lagi ciuman daripada isteri setiap pagi selepas ini,” kata Najib Khan Ismail Khan, 42, suami kepada seorang pekerja kilang yang maut selepas motosikal ditungganginya merempuh sebuah kren terbalik di Jalan Masjid Negeri di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 6.30 pagi itu, Che Fatimah Ishak, 50, sedang dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Bayan Lepas, mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala selepas merempuh lengan besi kren terbabit Najib yang bekerja sebagai pendawai elektrik berkata, sebelum kejadian arwah isterinya kelihatan seperti biasa dan tidak lupa untuk mencium pipinya seperti dilakukannya setiap kali keluar rumah.


“Perancangan kami untuk bercuti bersama anak tunggal lelaki berusia 16 tahun di Medan, Indonesia, April depan kini tidak kesampaian selepas arwah meninggalkan kami dua beranak untuk selamanya.



“Saya menerima panggilan daripada anggota polis kira-kira jam 8 pagi memaklumkan isteri meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya dan hanya mampu berdoa sejurus mendengar khabar itu,” katanya.


Dia yang masih terkejut dengan kematian isterinya menyerahkan siasatan kepada pihak polis dan mungkin akan mengambil tindakan undang-undang sewajarnya terhadap syarikat kren berkenaan.


Terdahulu, kira-kira tiga jam sebelum nahas itu, kren digunakan untuk kerja penyelenggaraan dan pembaikan tiang lampu jalan itu terbalik menyebabkan lengan besi kren berkenaan melintang dan menghalang lalu lintas di kedua-dua arah di Masjid Negeri.

Mangsa yang menunggang motosikal dari rumahnya di Ayer Itam dipercayai tidak sempat mengelak dan merempuh lengan besi kren terbabit.


Kejadian itu turut menyebabkan dua juruteknik yang menjalankan kerja baik pulih tiang lampu di Jalan Greenlane itu mengalami kecederaan.

Jurucakap trafik berkata, kren berkenaan dikatakan hilang keseimbangan sebelum ia senget ke bahagian kanan menyebabkan dua tayar terangkat dan lengan besinya terjatuh merentangi jalan.


“Kami masih menjalankan siasatan lanjut dan pemeriksaan awal mendapati penunggang motosikal berkenaan kemungkinan tidak sempat melihat besi kren yang merentangi jalan itu,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner, Gan Kong Meng, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan juga kejadian, mayat mangsa di hantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/26

No comments:

Post a Comment