Search This Blog

Wednesday, January 8, 2014

Tanah runtuh, ribuan terperangkap


Kerja pembersihan dijalankan di lokasi tanah runtuh di jalan Mahameru, Kuala Lumpur dekat Jabatan Perhutanan, semalam. - UTUSAN/JEFFRI IRAN
KUALA LUMPUR 7 Jan. - Ribuan pengguna jalan raya yang dalam perjalanan pulang dari kerja melalui Jalan Mahameru, di sini terpaksa menempuh kesesakan lalu lintas teruk sejauh kira-kira lima kilometer berikutan berlakunya kejadian tanah runtuh di kawasan itu petang ini.
Kejadian itu merupakan kali kedua tanah runtuh di tebing setinggi kira-kira 12 meter tersebut dengan yang pertama berlaku pada 8 Mei tahun lalu.
Dalam kejadian terbaharu kira-kira pukul 5.15 petang itu, kesesakan lalu lintas dikesan berlaku di sepanjang jalan dari Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) menghala ke Bangunan Parlimen dan Jalan Istana.
Ini berikutan tanah runtuh itu menghalang lalu lintas sehingga menyebabkan Jalan Mahameru terpaksa ditutup dan pengguna terpaksa dilencongkan ke Jalan Parlimen untuk kerja pembersihan sebelum dibuka selorong dan seperti biasa pukul 7.20 petang.
Kejadian itu bagaimanapun tidak membabitkan kerosakan kenderaan atau mangsa terlibat.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman berkata, pekerja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang lebih awal tiba di lokasi telah mengawal keadaan dan membuka satu lorong untuk pergerakan kenderaan.
Jelas beliau, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang ramai pukul 5.23 petang sebelum 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sentul dan Sri Hartamas bersama dua buah jentera ke lokasi tidak lama kemudian untuk bantuan sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.
"Kejadian runtuhan tanah dari tebing tepi jalan itu mungkin berlaku disebabkan faktor hujan yang berterusan selama kira-kira sejam.
"Tanah yang memasuki laluan jalan dianggarkan berkeluasan lebih kurang 100 meter persegi dan kerja-kerja pembersihan sedang dilakukan," ujarnya ketika dihubungi di sini.
Dua laluan yang terlibat dengan kejadian itu dibuka untuk laluan kenderaan mulai pukul 10.15 malam ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140108/dn_18/Tanah-runtuh-ribuan-terperangkap#ixzz2pnEzNV00
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment