Search This Blog

Friday, January 24, 2014

Suspek samun gagal bolos diri


MOHD FIRDAUS YON
24 Januari 2014

Suspek samun gagal bolos diri
Suspek samun gagal bolos diri Mohd Mokhtar (kanan) melihat kereta milik polis yang rosak di bahagian sisi selepas dirempuh kenderaan suspek.



JOHOR BAHRU - Polis menahan lima individu berusia 30an kerana disyaki terlibat dalam kejadian samun di sebuah stesen minyak di Yong Peng, Batu Pahat.

Penahanan empat lelaki dan seorang wanita itu dilakukan susulan kejadian seorang lelaki berusia 50 tahun yang disamun serta dicederakan.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, suspek turut melarikan kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari, 21 Januari lalu.

Menurutnya, suspek seterusnya cuba melarikan diri dengan melanggar sekatan jalan raya dilakukan serta kereta dan motosikal polis yang cuba menghalang mereka.

“Bagaimanapun kenderaan suspek terbabas dan tangkapan berjaya dibuat. Polis merampas semula sebuah kereta yang dilaporkan dicuri di Danga Bay, di sini, Toyota Hilux milik mangsa, sebuah komputer riba dan sepaket kecil dadah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini semalam.

Mohd Mokhtar berkata, salah seorang suspek mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan dua kes samun dan enam kes dadah.

Katanya, polis masih meneruskan siasatan untuk mencari saki baki penjenayah yang terlibat bersama dalam kes berkenaan.

“Kejayaan ini membolehkan enam kes samun berjaya diselesaikan di daerah Batu Pahat,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, polis menemui kembali dua lori muatan kotak berisi ikan sardin yang dilaporkan hilang di Kampung Telok Buloh, Minyak Beku, Batu Pahat pada 15 Januari lalu.

Mohd Mokhtar berkata, pengadu pada mulanya meletakkan lori terbabit di dalam keadaan berkunci.

Menurutnya, bagaimanapun ketika hendak mengambil semula lori terbabit untuk penghantaran barang, pengadu mendapati kenderaan itu bersama muatan hilang.

“Susulan daripada itu, polis menjalankan siasatan terperinci bagi mengesan pelaku jenayah dalam kes ini. Bertindak di atas maklumat, keesokan harinya (16 Januari) polis menahan enam lelaki berusia antara 29 hingga 35 tahun.

“Mereka ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes ini dan polis merampas kedua-dua buah lori yang dilarikan bersama muatan 1,946 kotak ikan sardin,” katanya.

Mohd Mokhtar berkata, semakan rekod kesalahan lalu mendapati salah seorang daripada suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau melibatkan kes-kes jenayah.
Katanya, kesemua suspek ditahan reman sehingga hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih tujuh tahun berserta denda, jika sabit kesalahan.

“Siasatan mendapati pemilik lori merupakan dalam dalam kes kehilangan kargo ini. Polis ingin menasihati syarikat pengangkutan supaya lebih bertanggungjawab dan jujur dalam urusan penghantaran kargo,” katanya.

No comments:

Post a Comment