Search This Blog

Friday, January 3, 2014

Suspek pengganas mahu serang kuil


Beberapa anggota polis berkawal di hadapan sebuah rumah lokasi serbuan mengorbankan enam suspek pengganas di Kampung Sawah Ciputat, Tangerang Selatan, kelmarin. - AGENSI
JAKARTA 2 Jan. - Enam suspek pengganas yang ditembak mati dalam satu serbuan pada malam Tahun Baharu di Kampung Sawah Ciputat, Tangerang Selatan kelmarin, dipercayai merancang serangan berani mati di beberapa kuil Buddha di sini.
Ketua Jabatan Perhubungan Awam Polis Indonesia, Boy Rafli Amar berkata, komplot itu diketahui berdasarkan penemuan sekeping kertas yang menyenaraikan kira-kira 50 kuil Buddha di Jakarta sebagai sasaran serangan dalam serbuan semalam.
"Daripada bukti yang ditemukan, dua daripada kuil yang disenarai telah ditanda sekaligus menunjukkan ia telah diserang," katanya merujuk kepada serangan di Kuil Ekayana, Jakarta sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri lalu.
Jelas beliau, pihaknya percaya banyak lagi kuil yang menjadi sasaran serangan itu.
Kelmarin, enam suspek pengganas ditumpaskan unit antikeganasan Detasmen 88 selepas disyakiterlibat dalam pelbagai aktiviti keganasan sepanjang tahun lalu termasuk menembak pegawai polis.
Dalam serbuan itu, turut dirampas adalah enam bom paip, enam pucuk pistol, lima bilah parang, pisau dan bahan-bahan membuat bom.
Sebuah rumah di Rempoa di sini, turut diserbu kerana menjadi lokasi pengganas berkenaan menyimpan bahan letupan.
Pada hari yang sama serbuan semalam, polis turut menahan seorang pekerja swasta, Sadullah Rojak, di Sukaraja, Bogor dan merampas dua pucuk senjata api serta dan bekas yang mengandungi serbuk putih.
Serbuan itu dijalankan selepas penahanan seorang anggota militan, Anton Alias Septi di Kinematik, Jawa Tengah, kelmarin.
Menurut Boy Rafli, Anton dan beberapa lagi rakannya di Ciputat sangat setia kepada pemimpin kumpulan pengganas Indonesia, Abu Roban.
"Mereka merancang (serangan) secara kolektif dengan Anton memainkan peranan utama dalam serangan ke atas pegawai-pegawai polis.
"Anton juga merupakan seorang pakar bom dan dia yang meletakkan bahan letupan di Kuil Ekayana selain terlibat sama dalam beberapa kegiatan rompakan," katanya. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140103/lu_05/Suspek-pengganas-mahu-serang-kuil#ixzz2pHnE1lAR
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment