Search This Blog

Wednesday, January 8, 2014

SPRM tahan 2 pegawai kanan Kementerian Luar


DUA pegawai Kementerian Luar yang ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung kes tuntutan perbelanjaan palsu dibawa ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, semalam.
KUALA LUMPUR 7 Jan. - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan dua pegawai Kedutaan Malaysia di Amerika Syarikat (AS) bagi membantu siasatan berhubung tuntutan perbelanjaan palsu bernilai lebih AS$126,000 (RM378,000) kira-kira dua tahun lalu.
Kedua-dua pegawai berusia 40-an itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada pukul 3.30 petang ini bagi membantu siasatan mengikut Akta Penggubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001.
Menurut Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali, mereka disiasat berhubung tuntutan palsu penggunaan kenderaan dan urusan logistik semasa Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2011 di Hawaii, AS.
"SPRM sedang menyiasat tuntutan yang dilakukan oleh kedua-dua mereka ketika bertugas di Kedutaan Malaysia di Washington," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Sementara itu, menurut sumber, kedua-dua pegawai itu ditahan selepas SPRM menjalankan siasatan kes tersebut sejak dua tahun lalu.
Katanya, kes itu disifatkan sebagai terbesar melibatkan pegawai kedutaan.
"SPRM menahan individu berkenaan yang masih dalam perkhidmatan bagi membantu siasatan kes," kata sumber itu ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Ditanya mengenai perincian tuntutan perbelanjaan berkenaan, sumber tersebut bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana tidak mahu mengganggu siasatan.
Sumber itu juga enggan menyatakan sama ada tuntutan tersebut sudah dibayar atau sebaliknya.
Dalam pada itu Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman ketika dihubungi hari ini memberitahu, beliau masih belum menerima maklumat berkaitan tangkapan ini.
"Bagaimanapun, saya akan siasat perkara ini dengan SPRM sebelum membuat sebarang pengesahan," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140108/je_05/SPRM-tahan-2-pegawai-kanan-Kementerian-Luar#ixzz2pnIbfjDM
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment