Search This Blog

Friday, January 24, 2014

Siasatan kontraktor dibelasah polis selesai


KUBANG PASU 23 Jan. - Kertas siasatan kes seorang wanita yang mendakwa suaminya cedera parah pada kemaluan akibat dibelasah anggota polis ketika ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu di sini pada Disember tahun lalu selesai.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Supritendan Ibrahim Mohamed Yusoff berkata, kertas siasatan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan itu sudah lengkap dan dihantar ke Bahagian Siasatan dan Perundangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman pada 18 Januari lalu.
"Saya menafikan sekeras-kerasnya jika ada pihak yang membuat tuduhan bahawa kertas siasatan tentang kes ini tidak dibuka.
"Semua proses siasatan telah selesai dan siasatan ini dibuat berpandukan laporan polis wanita tersebut," katanya pada sidang akhbar di IPD Kubang Pasu di sini hari ini.
Menurut Ibrahim, keputusan sama ada kes tersebut akan dikemukakan kepada pihak pendakwa raya akan ditentukan Bahagian Siasatan dan Perundangan PDRM Bukit Aman.
"Laporan polis dibuat wanita terbabit berhubung kejadian kira-kira pukul 11.30 malam, 12 Disember lalu dan polis kemudian membawa suami wanita itu ke hospital untuk pemeriksaan.
"Wanita itu mendakwa suaminya dipukul di bahagian perut, bahu serta ditampar namun semasa pemeriksaan oleh pegawai penyiasat, tidak ada kesan pukul pada badan lelaki tersebut malah laporan perubatan juga mendapati tiada kesan dipukul," ujarnya.
Tambah Ibrahim, lelaki itu ditahan reman di lokap bagi membantu siasatan kes rogol seorang remaja perempuan berusia 16 tahun pada 9 Disember tahun lalu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140124/je_06/Siasatan-kontraktor-dibelasah-polis-selesai#ixzz2rGOAFBVd
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment