Search This Blog

Sunday, January 19, 2014

Sesak nafas, histeria selepas serbu pusat rawatan tradisional


Shah Alam: “Saya jadi pening secara tiba-tiba sebelum dikejarkan ke hospital kerana tekanan darah tinggi. Yang saya ingat, sebelum itu saya lihat mulut pengamal perubatan itu terkumat kamit seperti membaca sesuatu.

“Tidak lama kemudian, ada satu suara membisikkan kepada saya supaya beredar saja dari kawasan itu dan ia bukan urusan saya,” kata seorang ketua penolong pengarah bahagian penguatkuasaan sebuah jabatan kerajaan.

Beliau yang mengetuai satu serbuan ke atas premis menjalankan rawatan secara tradisional pada 2010 berkata, beberapa minggu sebelum itu pihaknya menerima aduan orang ramai mengenai wujudnya amalan bertentangan dengan agama oleh perawat berusia 50-an itu.

Selepas menelitinya dan mendapat waran geledah, beliau bersama sepasukan anggota penguat kuasa memeriksa premis berkenaan ketika pengamal perubatan terbabit melakukan pembedahan batin ke atas seorang pesakit wanita.

“Ketika memaklumkan kehadiran kami, saya terdengar bisikan seseorang menyuruh saya keluar dari tempat itu dan tidak mencampuri urusan di pusat rawatan berkenaan sebelum jantung saya tiba-tiba berdegup kencang.

“Dengan tidak semena-mena, badan saya berpeluh dingin dan sakit kepala yang teruk menyebabkan saya meminta rakan sejawat menggantikan saya untuk prosedur siasatan seterusnya sebelum saya dihantar ke hospital berdekatan,” katanya.

Selama lima jam dirawat, beliau dibenarkan keluar hospital namun dikejutkan pula dengan berita bahawa rakannya pula mengalami histeria sebaik selesai perbualan dengan lelaki berkenaan.

Bagaimanapun, selepas menerima kaedah rawatan Islam, mereka berdua pulih biarpun berlaku gangguan kecil seperti perasaan gelisah, murung dan sering berasakan bahawa ada ancaman tertentu akan berlaku ke atas diri mereka.

“Justeru, pada peringkat ini saya mencadangkan supaya pengenalan akta sihir dipercepatkan bagi membolehkan pelaku sihir mendapat balasan setimpal di atas apa yang mereka lakukan,” katanya.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/19

No comments:

Post a Comment