Search This Blog

Friday, January 24, 2014

Segalanya hangus...

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin
Georgetown: “Ketika tiba di rumah, saya tak dapat buat apa-apa dan hanya mampu melihat rumah termasuk sebuah kereta yang dibeli dua tahun lalu musnah dijilat api,” kata Shahini Shafii, 50, apabila rumah dan keretanya di Kampung Sungai Batu, Teluk Kumbar, di sini, musnah dalam kebakaran kira-kira jam 8 pagi semalam.
Shahini berkata, sejurus dimaklumkan rakannya mengenai kejadian itu, dia yang ketika itu berada di Teluk Kumbar bergegas pulang ke rumah.
Bagaimanapun, katanya, dia yang memandu van pelancongan ketika itu tersangkut dalam kesesakan lalu lintas sebelum meminta rakannya mengambilnya dengan motosikal.
“Saya tidak sempat menyelamatkan apa-apa barang termasuk kereta jenis Proton Saga FLX dan rumah kayu setingkat yang didiami sejak 40 tahun lalu musnah dalam sekelip mata saja,” katanya ditemui di lokasi kejadian, di sini, semalam.
Bagaimanapun, Shahini bersyukur kerana ketika kejadian, isterinya, Aziah Mat Tajri, 42, bekerja di sebuah kilang, manakala anak sulungnya, Mohd Irfan, 20 , tidur di rumah rakan dan seorang lagi anak yang berusia 14 tahun bersekolah.
Katanya, nilai kerugian dianggarkan kira-kira RM100,000 termasuk kereta yang musnah dalam kejadian itu.
Sementara itu, Mohd Irfan berkata, dia terkejut dan sedih kerana kejadian berlaku terlalu pantas sehingga menyebabkan beberapa telefon bimbit, komputer riba serta hadiah pemberian rakan musnah menjadi abu dalam sekelip mata.
“Saya turut bersyukur kerana terselamat berikutan malam kejadian saya tidur di rumah rakan namun sedih kerana semua barangan tak dapat diselamatkan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Seri Pulau Norashikin Md Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 8.08 pagi dan sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba Seri Pulau, Bayan Bayu, Jalan Perak, termasuk pasukan bomba sukarela dari Batu Maung dan Gertak Sanggul bergegas ke lokasi kejadian dengan lima jentera.
Beliau berkata, api berjaya dikawal jam 8.27 pagi dan padam sepenuhnya pada jam 8.40 pagi serta tiada mangsa mengalami kecederaan dalam kejadian itu dan punca serta nilai kerugian masih lagi disiasat.
Foto
KEADAAN rumah dan kereta milik Shahini yang rentung.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24

No comments:

Post a Comment