Search This Blog

Friday, January 3, 2014

Rumah bekas hakim musnah


Subang Jaya: Sebuah rumah teres dua tingkat milik bekas Hakim Mahkamah Rayuan musnah dalam kebakaran di Jalan SS 12/3C di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 6.30 pagi itu, kebakaran memusnahkan 30 peratus rumah berkenaan terutama bahagian hadapan, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan berikutan semua penghuni berjaya menyelamatkan diri. Bagaimanapun, tiga kenderaan diletakkan di bahagian anjung rumah berkenaan iaitu Audi, Honda CRV dan Peugeot musnah dijilat api.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya Timbalan Penguasa Norizan Abu Bakar berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada jam 6.50 pagi dan jentera pertama tiba di lokasi kejadian seminit kemudian. “Sebaik tiba, api sedang marak, tetapi tiga penghuni yang berada dalam rumah sempat keluar menyelamatkan diri. “Seramai 24 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya dan Jalan Penchala dikejarkan ke lokasi kejadian bagi memadamkan kebakaran,” katanya.
Beliau berkata, api dapat dikawal daripada merebak ke rumah jiran dan berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira setengah jam kemudian.

“Setakat ini, kami masih menjalankan siasatan untuk mengetahui nilai kerugian serta punca sebenar kejadian,” katanya.
Foto
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/03

No comments:

Post a Comment