Search This Blog

Friday, January 24, 2014

Roboh empat struktur haram

 Oleh Nur Lela Zulkipli
Kuala Lumpur: Satu lagi ‘port’ pelupusan sampah ke dalam Sungai Klang berjaya dihapuskan dalam operasi bersepadu Pejabat Tanah Daerah (PTD) Petaling bersama Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di Tanah Perindustrian Lembah Kinrara, di sini, semalam.
Operasi berkenaan dilakukan selepas menerima terlalu banyak aduan daripada penduduk setempat berkenaan aktiviti membuang sampah di sungai itu sejak tiga tahun lalu.
Ketua Penolong Pegawai Daerah (Tanah) Shukri Mohamed Hamin berkata pihaknya telah mengeluarkan sebanyak tiga Notis Pendudukan Tidak Sah pada tahun lalu kepada individu yang membina premis dan melakukan aktiviti tidak bertanggungjawab di tanah itu, namun masih berdegil untuk meninggalkan kawasan berkenaan.
“Tindakan diambil di bawah seksyen 425 Kanun Tanah dan jika sabit kesalahan, denda tidak kurang dari RM10,000 atau penjara kurang dari setahun.
“Kita terpaksa merobohkan empat struktur haram yang dibina di atas tanah rizab kerajaan selepas mereka berdegil untuk keluar dari tanah itu dan meminta lebih masa untuk berpindah,” katanya ketika ditemui selepas operasi berkenaan.
Menurut Shukri, pihaknya percaya pemilik premis berkenaan mempunyai kaitan dengan aktiviti pembuangan sampah di sepanjang satu ekar tebing Sungai Klang walaupun mereka menafikan tidak terbabit.
“Kita percaya mereka ada kaitan dengan pencemaran yang berlaku kerana hanya mereka yang mempunyai kunci untuk masuk ke kawasan ini.
“Mereka juga memasang palang di jalan masuk bagi mengawal keluar masuk lori sampah yang membuang sisa-sisa di kawasan ini,” katanya.
Dalam operasi berkenaan, dua tangki besar minyak diesel turut ditemui di sebuah bilik yang dibina khas dan berkunci sehinggakan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) terpaksa diturunkan bagi mengawal keadaan daripada berlaku rusuhan dari pemilik premis.
Shukri berkata, kerja pembersihan sampah di sepanjang tebing dan Sungai Klang di kawasan itu akan dikendalikan oleh MPSJ.
Foto
OPERASI perobohan struktur dan aktiviti pembuangan sampah oleh gologan tak bertanggungjawab.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24

No comments:

Post a Comment