Search This Blog

Friday, January 24, 2014

Rayuan bakal pengantin kurangkan hukuman

 SINAR HARIAN
24 Januari 2014

Rayuan bakal pengantin kurangkan hukuman
Rayuan bakal pengantin kurangkan hukuman Mohd Zulkifle didenda RM1,500 oleh mahkamah majistret, selepas mengaku bersalah memiliki selaras senapang angin buatan sendiri tanpa lesen sah.



KUALA TERENGGANU - “Saya merayu diringankan hukuman kerana saya bakal berkahwin pada April nanti. Lagi pun saya memang langsung tidak tahu yang memiliki senjata itu merupakan satu kesalahan.

Demikian rayuan Mohd Zulkifle Wahab, 32, selepas dia mengaku bersalah di mahkamah majistret semalam, memiliki selaras senapang angin tanpa lesen yang sah.

Bagaimanapun, buruh berkenaan didenda RM1,500 atau dua bulan penjara jika gagal menjelaskan denda.

Mohd Zulkifle mengaku bersalah memiliki selaras senapang angin tanpa lesen sah di dalam bilik tidur di sebuah rumah di Kampung Padang Ujib, Manir, di sini, pada 4 April 2011, kira-kira jam 5.20 pagi.

Berdasarkan fakta kes, bertindak atas maklumat kegiatan dadah, pada 4 April 2011, kira-kira 5.20 pagi, sepasukan polis narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu telah membuat satu serbuan di sebuah rumah iaitu milik Mohd Zulkifle.

Walaupun pintu diketuk beberapa kali sambil memperkenalkan diri sebagai polis, namun penghuni di dalam rumah tetap berdegil dan enggan memberi kerjasama menyebabkan pihak polis terpaksa memecahkan pintu hadapan rumah berkenaan.

Tertuduh ditangkap kerana disyaki terlibat dalam kegiatan dadah dan hasil pemeriksaan, polis menjumpai selaras senapang angin tersangkut di tepi dinding di dalam biliknya.

Hasil soal siasat, Mohd Zulkifle mengaku senapang angin itu adalah miliknya untuk kegunaan sendiri.

No comments:

Post a Comment