Search This Blog

Sunday, January 26, 2014

Rampas raifal pemburu haram

Rampas raifal pemburu haram Zull Aznam (dua dari kanan) bersama pegawai polis menunjukkan senjata api yang dirampas di kawasan sempadan. - Foto Eizairi Shamsudin Kangar: Polis Perlis merampas sepucuk raifal bersama peluru hidup dipercayai milik pemburu haram di kawasan hutan sempadan Malaysia-Thailand, berhampiran Kaki Bukit, dekat sini.

Difahamkan, raifal jenis CZ 452-2E ZKM lengkap dengan teropong, serta kelopak dengan dua peluru hidup itu ditemui sepasukan anggota Batalion 3 Pasukan Gerak Am (PGA) ketika melakukan rondaan di kawasan pos kawalan Simpang Lima di Kaki Bukit, pada 21 Januari lalu.

Lelaki mencurigakan



Ketua Polis Perlis, Datuk Zull Aznam Haron, berkata pihaknya percaya raifal terbabit milik pemburu haram yang sengaja ditinggalkan selepas mereka terserempak dengan sepasukan anggota yang melakukan kawalan di lokasi terbabit.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, pegawai dan anggota polis PGA bertugas dikatakan terserempak dengan dua lelaki mencurigakan di kawasan hutan berkenaan, bagaimanapun kedua-dua lelaki terbabit terus melarikan diri ke arah hutan berbukit di kawasan sempadan.

“Pasukan terbabit kemudian cuba mengejar lelaki berkenaan, namun gagal.
Bagaimanapun hasil pemeriksaan, selaras raifal bersama kelopak berisi dua peluru hidup ditemui dipercayai ditinggalkan kedua-dua lelaki berkenaan.
“Selain itu, kita turut menemui dua beg galas hijau berisi dua buaian tidur bercorak celoreng hijau hitam dipercayai milik individu sama, dipercayai pemburu haram dari negara jiran.

“Semua barang terbabit kemudian dirampas dan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 serta Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960,” katanya.

Rampas minuman keras

Sementara itu, Zull Aznam berkata, dalam kes berasingan Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Padang Besar merampas 50 pek minuman keras dalam tin membabitkan pelbagai jenama dari sebuah kereta jenis Proton Wira di Kampung Kolam, dekat padang Besar, di sini, Khamis lalu.

Beliau berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, pemandu PROTON Wira terbabit melarikan diri selepas menyedari sekatan jalan raya diadakan pihak berkuasa, sebelum meninggalkan kereta bersama minuman keras itu.

“Hasil pemeriksaan mendapati kereta yang dipandu lelaki berkenaan menggunakan nombor pendaftaran palsu dan pernah dilaporkan hilang di Kedah sebelum ini.
Semua minuman keras itu kemudian dirampas kerana disyaki barangan elak cukai dan kes disiasat mengikut Seksyen 135/1/B Akta Kastam 1967,” katanya.

No comments:

Post a Comment