Search This Blog

Friday, January 24, 2014

Ramai orang ‘pandai’ kena tipu

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa
Kuala Lumpur: Lebih 90 peratus daripada mangsa yang terpedaya dengan sindiket antarabangsa yang melakukan penyamaran menerusi Suara Melalui Protokol Internet (VoIP) yang membuat panggilan kononnya sebagai pegawai polis dan pegawai bank dikesan adalah individu terpelajar.
Difahamkan, meskipun mangsa tahu mengenai wujudnya kegiatan sindiket penipuan ‘Macau Scam’ yang biasanya menyamar sebagai pegawai polis dari Bukit Aman atau pegawai Bank Negara Malaysia, namun disebabkan nombor telefon yang digunakan adalah sama dengan nombor asal agensi-agensi berkenaan, mereka menjadi keliru dan terpedaya.
Pengerusi Biro Aduan Awam MCA Datuk Seri Michael Chong berkata, hasil aduan yang diterima pihaknya sejak 2011 hingga kini, dia mendapati lebih 90 peratus daripada mangsa adalah individu terpelajar yang mempunyai kelulusan pendidikan tinggi.
“Pada mulanya mereka tidak percaya pada helah anggota sindiket bagaimanapun sebaik menerima panggilan, mangsa yang ‘pandai’ ini akan membuat carian nombor telefon agensi itu di Internet dan apabila ia sama dengan nombor digunakan sindiket, mereka menjadi keliru.
“Anggota sindiket juga dilatih untuk bercakap tanpa henti hingga mangsa mendedahkan maklumat peribadi perbankan mereka dan mangsa yang sudah memeriksa nombor telefon asal agensi akan percaya sepenuhnya pada taktik anggota sindiket berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, sejak 2011, pihaknya menerima 12 laporan daripada mangsa yang terpedaya dengan sindiket berkenaan membabitkan kerugian RM557,600 dan tahun lalu, ia menunjukkan penurunan berikutan orang ramai lebih peka dan tahu mengenai modus operandi sindiket terbabit.
Bagaimanapun, dalam tempoh sebulan tahun ini, pihaknya sudah menerima dua kes.
Foto
CHONG (kanan) mendengar aduan daripada seorang mangsa yang kena tipu.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24

No comments:

Post a Comment