Search This Blog

Friday, January 3, 2014

Protes kes mangsa rogol mati dibakar


Kolkata: Insiden seorang remaja India yang dirogol secara berkumpulan dalam dua serangan berasingan dan mati selepas dibakar, mencetuskan bantahan di bandar raya ini, kata polis semalam.

Remaja berusia 16 tahun itu diserang kali pertama pada 26 Oktober dan kemudian dirogol sekali lagi keesokan harinya oleh lebih enam lelaki berhampiran kediaman keluarganya di pekan Madhyagram, 25 kilometer di utara Kolkata. Insiden kedua itu berlaku ketika dia dalam perjalanan pulang selepas melaporkan kejadian serangan pertama di balai polis. Dia kemudian dibakar pada 23 Disember lalu dan mati di hospital kerajaan pada malam tahun baru, kata polis. “Dalam keadaan nazak, mangsa memaklumkan kepada kami di depan pegawai kesihatan yang dia dibakar oleh dua orang yang rapat dengan tertuduh ketika dia bersendirian di rumah pada 23 Disember,” kata anggota polis Nimbala Santosh Uttamrao kepada media.


Polis melakukan penangkapan pertama kelmarin, dua bulan selepas jenayah sebenar berlaku, kata ketua polis tempatan Rajiv Kumar.



“Tertuduh cuba membunuh anak perempuan saya dengan membakarnya agar jenayah mereka dapat ditutup,” kata bapa mangsa, pemandu teksi dari negeri miskin Bihar kepada media. Beratus-ratus aktivis kelmarin mengadakan bantahan di Kolkata ekoran jenayah kejam yang mengejutkan itu, setahun selepas jenayah seks dilaporkan secara meluas di India. Aktivis berkata, mangsa rogol di negara itu sering berdepan ancaman keras dan ditakut-takutkan daripada penyerang mereka selepas serangan, manakala polis pula tidak menggalakkan mangsa membuat laporan mengenainya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/03

No comments:

Post a Comment