Search This Blog

Thursday, January 23, 2014

Polis tumpas kegiatan ah long di Genting Highlands


KUANTAN 23 Jan. - Polis berjaya menumpaskan kegiatan ah long yang bergerak aktif di kawasan Genting Highlands dekat sini dengan menahan sembilan lelaki di beberapa kawasan dekat pusat peranginan tanah tinggi tersebut kelmarin.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Supritendan Azizan Md. Isa berkata, modus operandi kegiatan itu memfokuskan pinjaman yang ditawar kepada orang awam yang berjudi di pusat peranginan popular negara itu.
Menurut beliau, kesemua suspek yang bergerak secara sendiri dan masih tidak mempunyai ketua kumpulan itu bertindak mengedar kad panggilan yang turut diletakkan imej wanita yang seksi.
"Selain memberi pinjaman wang yang berjumlah antara RM1,000 hingga RM10,000, mereka juga menawarkan pelacur kepada pelanggan yang berminat.
"Ah long yang ditahan turut menjalankan aktiviti gadaian kepada peminjam yang tidak mampu melunaskan pinjaman dengan menerima barangan seperti telefon bimbit, barang kemas, komputer riba dan kereta," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Pahang di sini hari ini.
Menurut beliau, dalam operasi tersebut, polis merampas sebanyak 378 keping kad panggilan (call card), 15 unit telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM12,561. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140123/je_17/Polis-tumpas-kegiatan-ah-long-di-Genting-Highlands#ixzz2rGOpdbvK
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment