Search This Blog

Sunday, January 26, 2014

Pengedar dadah, ahli sihir berdepan hukuman mati


Jakarta: Di sebalik usaha kerajaan memberikan bantuan perundangan kepada warga Indonesia yang didakwa melakukan jenayah, Kementerian Luar merekodkan 236 orang masih berdepan hukuman mati di negara asing.

Kenyataan kementerian itu menyebut, kebanyakan individu terbabit berdepan tuduhan mengedar dadah, membunuh dan zina.


Secara pecahan, kata kementerian itu, majoriti warga Indonesia yang berdepan hukuman mati di Malaysia membabitkan tuduhan dadah.



“Di Arab Saudi pula, 25 peratus daripada keseluruhan tertuduh didakwa terbabit dalam kesalahan membunuh, berzina dan menggunakan sihir,” kata kenyataan itu. Suspek pengedar dadah warga Indonesia turut berdepan hukuman maut di China, manakala selebihnya berada di negara lain seperti Singapura, Emiriah Arab Bersatu dan Iran.


Pengarah Bantuan Perundangan Kementerian Luar, Tatang Budie Utama Razak berkata, sejak 2011 kira-kira 165 warga Indonesia terlepas hukuman mati dengan sesetengahnya dibebaskan langsung daripada semua tuduhan.


“Ia adalah hasil usaha gigih semua pihak, termasuk presiden dan kakitangan di semua kedutaan terbabit,” katanya. Sementara itu, sumber berkata, sesetengah suspek - seperti di Arab Saudi - yang dituduh berzina sebenarnya adalah mangsa rogol, tetapi menghadapi pertuduhan berbeza.

“Namun kebanyakan mereka didakwa di mahkamah kerana menjalin hubungan sulit,” katanya. Di Arab Saudi, katanya, dianggarkan 7,000 bayi dilahirkan hasil insiden seumpama itu.


“Identiti bapa kanak-kanak itu tidak jelas dan keadaan ini membimbangkan,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/26

No comments:

Post a Comment