Search This Blog

Wednesday, January 8, 2014

Pengecas telefon pintar meletup


Donna Senior menunjukkan alat pengecas telefon pintar yang meletup dan hampir mengenai bayinya, yang sedang tidur. - AGENSI
LONDON 7 Jan. - Seorang ibu di Britain mengalami detik-detik mencemaskan apabila alat pengecas telefon pintar miliknya meletup dan serpihan letupan berkenaan hampir mengenai bayinya yang sedang tidur.
Ketika menceritakan detik-detik menakutkan itu, Donna Senior berkata, pengecas itu dibeli pada harga 8 pound (RM43) dari sebuah kedai telefon di Stesen Bas Huddersfield, West Yorkshire pada 20 Disember lalu dan dia baru sekali menggunakan alat tersebut, baru-baru ini.
Senior berkata, selepas beberapa jam mengecas telefon bimbitnya, dia dan bayinya berusia lima bulan, Ella dikejutkan dengan bunyi letupan yang kuat pada awal pagi.
Dia mendapati bahagian atas pengecas itu tercampak dari soket elektrik dan hampir mengenai bayinya yang sedang tidur di dalam bakul bayi.
“Nasib baik serpihan pengecas tersebut terkena pada bakul anak saya.
“Kami berdua mungkin boleh terbunuh disebabkan pengecas itu," katanya.
Selepas insiden itu, Senior membawa pengecas berkenaan ke kedai terbabit untuk menuntut ganti rugi, namun pekerjanya enggan memenuhi permintaan wanita tersebut dan sebaliknya mahu menggantikan dengan pengecas yang baharu.
“Mereka tidak peduli dengan apa yang berlaku pada kami, walaupun saya menerangkan kejadian itu boleh membahayakan nyawa saya dan Bella," katanya.
Malah pengecas jenis Revive A1299 USB masih dijual di kedai berkenaan.
Sementara itu, pegawai Perkhidmatan Perdagangan West Yorkshire, Tony Downham berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan berhubung kes yang berlaku di rumah Senior itu.
Downham berkata, beberapa kejadian hampir sama berlaku di London dan tenggara bandar berkenaan sehingga menyebabkan kebakaran rumah.
“Pengguna dinasihatkan membeli pengecas asli di kedai yang mempunyai reputasi baik dan mengelakkan diri daripada membeli bahan tiruan," katanya. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140108/lu_07/Pengecas-telefon-pintar-meletup#ixzz2pnCCdZcp
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment