Search This Blog

Wednesday, January 15, 2014

Penduduk diancam haiwan liar


Osman Harun
Ramlee Abdullah
Ahmad Ibrahim (kanan) menunjukkan pokok pisang yang dimusnahkan haiwan liar di Kampung Sungai Tengar Utara, Sabak Bernam.
KEGIATAN meneroka hutan di sekitar pesisiran Sungai Bernam didakwa menjadi punca gangguan binatang liar di Kampung Sungai Tengar Utara, Sabak Bernam.
SABAK BERNAM 15 Jan. - Kehidupan kira-kira 1,000 penduduk Kampung Sungai Tengar Utara di sini diancam oleh gangguan haiwan liar berikutan hutan di pesisiran Sungai Bernam diteroka sejak sebulan lalu.
Seorang penduduk, Osman Harun, 56, berkata, kehadiran binatang liar seperti kera dan babi hutan ke dalam kampung menyebabkan tanaman di kebun milik mereka musnah.
"Memang tidak dinafikan sebelum ini ada haiwan terbabit masuk ke kebun tetapi sejak aktiviti pembersihan hutan di pesisiran pantai dilakukan, kehadiran kera, lotong dan babi hutan semakin menjadi-jadi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurutnya, sebelum ini dia mampu memperoleh pendapatan sekitar RM2,000 sebulan hasil jualan kelapa dan pisang tetapi sejak gangguan haiwan liar, pendapatannya kian merosot akibat kemusnahan tanaman.
Penternak lembu, Ramlee Abdullah, 63, pula memberitahu, dia terkejut apabila mendapati lembu peliharaannya berkeliaran akibat pagar dawai yang dibina telah roboh.
"Saya kesal apabila pihak yang diamanahkan untuk melakukan penerokaan tidak memaklumkan sebarang kerja pembersihan akan dijalankan menyebabkan haiwan peliharaan saya terlepas ke kawasan lain," ujarnya.
Jelasnya, selain hasil tanaman petani di kawasan sekitar terjejas, keselamatan penduduk terutama kanak-kanak terancam apabila ada binatang liar masuk sehingga ke dalam rumah.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung Persekutuan Kampung Sungai Tengar Utara, Ahmad Ibrahim berkata, beliau tidak menghalang mana-mana pihak melakukan pembersihan di kawasan terbabit namun berharap kerajaan negeri memantau penerokaan hutan itu.
"Kita tiada kuasa menghalang kerajaan negeri mengusahakan tanah tetapi penduduk kampung harapkan pihak berkenaan bertanggungjawab terhadap ancaman dan kerugian dialami penduduk kampung," jelasnya.
Beliau menambah, pihaknya sudah membuat aduan kepada Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam; Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Selangor serta Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor berhubung masalah berkenaan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kota/20140116/wk_01/Penduduk-diancam-haiwan-liar#ixzz2qXKxw0ES
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment