Search This Blog

Friday, January 24, 2014

Paut ibu cuba redah api

Kuala Kangsar: Seorang suri rumah terpaksa memeluk pinggang ibunya sekuat hati selepas wanita warga emas terbabit cuba masuk ke dalam rumah mereka di Kampung Kledang, di sini, yang sedang terbakar petang semalam.
Dalam kejadian jam 4 petang, wanita terbabit, Kamariah Abdul Ghani, 53, sedaya upaya menghalang ibunya, Umi Mohd Taib, 78, yang meraung dan cuba menyelamatkan barang berharga disimpan di dalam bilik tidur di rumah mereka itu.
Kamariah berkata, kebakaran itu menyebabkan rumah pusaka yang berusia lebih 80 tahun itu musnah sama sekali.
Menurutnya, dia menyedari kebakaran itu selepas ibunya mengejutkannya bangun daripada tidur.
“Tanpa berfikir panjang, saya segera membawa ibu dan dua cucu berusia tiga serta lima tahun keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri.
“Bagaimanapun, ibu berkeras mahu masuk semula ke dalam rumah bagi menyelamatkan barang berharga yang disimpan di dalam bilik tidur, tetapi saya menghalangnya,” katanya.
Dia berkata, dia hanya sempat menyelamatkan dompetnya kerana kebetulan dompet itu berada berhampiran dengannya ketika kejadian.
“Api datang dari bilik belakang.
Saya pelik kerana ketika itu sudah berhenti memasak untuk hidangan tengah hari.
“Tidak sampai lima minit, rumah kami hangus dijilat api.

Api menjulang sangat tinggi hinggakan daun pokok kelapa berhampiran turut terbakar,” ujarnya.
Dia berkata, sebuah kereta milik pelanggan bengkel berhampiran rumahnya turut hangus dalam kebakaran itu.
Foto
RUMAH pusaka berusia 80 tahun hangus dalam masa lima minit.

Sementara itu, Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar Ismail Darus berkata, dua jentera dari Kuala Kangsar dan satu jentera dari Sungai Siput dikejarkan ke lokasi kejadian bagi memadam kebakaran.
Menurutnya, anggota bomba mengambil masa lima minit untuk mengawal kebakaran dan punca kebakaran dalam siasatan.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24

No comments:

Post a Comment