Search This Blog

Sunday, January 19, 2014

Bot karam: Mayat 3 mangsa dibawa pulang ke kampung


DARO (Sarawak) 19 Jan. - Mayat tiga wanita yang lemas dalam tragedi bot panjang di Batang Lassa dekat Kampung Kut di Daro semalam, diterbangkan dengan helikopter Nuri untuk dikebumikan di kampung mereka, Kampung Tekajong.
Helikopter itu berlepas kira-kira 1.45 tengah hari ini.
Sementara itu, polis Daro mengeluarkan senarai nama lapan mangsa yang masih hilang.
Mereka ialah Borhan Bordan, Riji Dalol, Mahdani Akim, Abu Bakar Mahli, Kalsum bt Mat, Ebong Rais, Nur bt Abdullah dan Naibi Saibi.
Kemalangan itu berlaku apabila bot panjang yang membawa 27 orang dari Kampung Tekajong yang pulang daripada menghadiri majlis perkahwinan di Kampung Saai terbalik akibat dipukul ombak besar.
Enam belas lagi penumpang berusia lingkungan 23 hingga 69 tahun berjaya menyelamatkan diri, tiga wanita lemas, manakala lapan lagi masih hilang.
Pasukan mencari dan menyelamat meneruskan operasi di Batang Lassa, anak sungai Sungai Rajang, lokasi kemalangan itu berlaku kira-kira 1 tengah hari semalam.
Kira-kira 100 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Mukah, Sungai Merah (Sibu) dan Sibu, Rela, polis, Jabatan Pertahanan Awam, Lembaga Sungai Sarawak dan penduduk setempat terbabit dalam operasi itu.
Hujan sekali-sekala sejak 1 petang ini tidak memudarkan semangat mereka
ketika memulakan operasi pada 7 pagi ini.
Antara yang turut membantu operasi itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semok, Abdullah Saidol dan ADUN Daro, Murni Suhaili. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140119/je_17/Bot-karam-Mayat-3-mangsa-dibawa-pulang-ke-kampung#ixzz2qsrSSAmY
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment