Search This Blog

Friday, January 24, 2014

Op Selamat 2014 bermula



MOHD. Bakri Zinin sambil diperhatikan Noorizah Abd. Hamid (kanan) mencuba kamera pengesan had laju dalam majlis pelancaran Op Selamat 2014, di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Seremban, semalam. - UTUSAN/ASWAD YAHYA
SEREMBAN 23 Jan. - Pihak berkuasa tidak lagi berkompromi sebaliknya bertindak tegas terhadap pesalah trafik yang melanggar peraturan jalan raya sepanjang pelaksanaan Op Selamat 2014 sempena sambutan Tahun Baharu Cina bermula esok hingga 7 Februari ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin berkata, pendekatan memperketatkan penguatkuasaan secara optimum terhadap pesalah trafik berupaya mengurangkan risiko kemalangan dan jumlah kes kemalangan maut khususnya sepanjang musim perayaan berkenaan.
"Tahun ini kita akan mengambil tindakan penguatkuasaan menyeluruh memandangkan pada masa lalu pendekatan berhemah yang digunakan memberi ruang kepada pengguna jalan raya melanggar serta tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan.
"Sebagai kesannya, ia menjejaskan serta mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya lain, kali ini kita tidak akan beri peluang untuk mereka (pesalah trafik) meminta maaf ataupun memberi alasan agar tidak dikenakan tindakan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar pada Majlis Pelancaran Op Selamat Siri Keempat 2014 sempena Tahun Baharu Cina, di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Seremban di Lebuh Raya Utara Selatan di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Salleh Mat Rasid dan Ketua Polis negeri, Datuk Osman Salleh.
Menurut Mohd. Bakri, antara kesalahan yang sering dilakukan pengguna jalan raya adalah memandu melebihi had laju, memotong di garisan berkembar serta melanggar lampu isyarat.
Jelasnya, selain aspek keselamatan jalan raya, Op Selamat 2014 juga menekankan kepada keselamatan harta benda dan kediaman orang ramai yang ditinggalkan sepanjang musim perayaan ini.
"Untuk tujuan ini kita juga akan meningkatkan jumlah rondaan pencegahan jenayah di kawasan kediaman, rondaan menggunakan kereta dan kenderaan pelbagai guna (MPV) termasuk Unit Rondaan Bermotosikal (URB) akan digunakan sebagai elemen utama memantau rumah dan premis yang ditinggalkan.
"Malah hari ini, kita turut mengagihkan 800 buah motosikal untuk kegunaan URB di seluruh negara," katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad, Datuk Noorizah Abd. Hamid berkata, jumlah trafik harian sepanjang sambutan perayaan Tahun Baharu Cina bakal meningkat 25 peratus berbanding hari biasa.
"Berdasarkan kajian jumlah trafik di PLUS akan meningkat kepada 1.5 juta kenderaan setiap hari sepanjang perayaan ini berbanding 1.2 juta pada hari biasa.
"Justeru, kita telah mengatur strategi untuk mengeluarkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan bagi membantu orang ramai merancang perjalanan mereka pada musim cuti ini," jelasnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140124/je_02/Op-Selamat-2014-bermula#ixzz2rHxOGHmG
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment