Search This Blog

Thursday, January 16, 2014

Noor Jan pembohong besar: Idris

Noor Jan pembohong besar: IdrisAnggota polis membawa Noor Jan yang mengaku dirinya ‘Sultan Melaka’ untuk direman di Kompleks Mahkamah Melaka, Ayer Keroh. - Foto Rasul Azli Samad Ayer Keroh: Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengesahkan sijil pengiktirafan waris Kesultanan Melayu Melaka milik Noor Jan Tuah adalah palsu.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron, berkata pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka menerima surat daripada pihak ICJ di The Hague, Belanda, pada September tahun lalu yang menyatakan Noor Jan sebagai pembohong.

“Kenyataan Noor Jan adalah pembohong besar jelas dinyatakan dalam pengakuan pihak ICJ yang ditulis kepada kami,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO di Seri Negeri di sini, semalam.

Baru-baru ini, Idris menerima surat daripada Noor Jan yang mahu perbincangan dilakukan bagi mendapatkan pengiktirafan sebagai ‘Sultan Melaka’ kerana mendakwa mendapat pengiktirafan ICJ.

Bagaimanapun, polis semalam mendapat perintah tahanan reman empat hari ke atas Noor Jan, 57, yang dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah, V Kanasan.

Selepas perintah reman dikeluarkan pada jam 9.45 pagi, Noor Jan yang berbaju lokap jingga, dibawa anggota polis memasuki van ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.

Tinjauan BH mendapati kawasan pintu masuk mahkamah dikawal beberapa anggota polis, manakala pengikut Noor Jan tidak kelihatan di perkarangan mahkamah.
Tampil bantu siasatan

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah, meminta individu yang terbabit secara langsung dengan aktiviti Noor Jan supaya tampil ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri atau IPD Melaka Tengah bagi membantu siasatan.

“Mereka yang menganjur atau membiayai aktiviti beliau (Noor Jan) diharap tampil sendiri di balai polis berhampiran tanpa menunggu dicari polis,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

No comments:

Post a Comment