Search This Blog

Wednesday, January 8, 2014

Niat baik ibu tunggal bertukar malang


KUALA LUMPUR 7 Jan. - Niat baik seorang ibu tunggal membenarkan bekas suaminya membawa empat anak mereka bersiar-siar bertukar menjadi mimpi ngeri apabila kanak-kanak itu dilarikan lelaki terbabit di rumahnya di Taman Kajang Utama, Kajang, Rabu lalu.
Apatah lagi kini Nur Khatijah Jojos, 31, bimbang tentang akidah anaknya berikutan bekas suaminya, Seinwin, 30-an, yang merupakan warga Myanmar sebelum ini adalah penganut agama Buddha selain dikhuatiri lelaki tersebut mungkin akan melarikan anak-anaknya ke negara asalnya.
Nur Khatijah berkata, pada mulanya dia tidak menyangka bekas suaminya yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran di Petaling Jaya itu datang ke rumahnya dengan alasan membawa anak mereka keluar meraikan cuti umum tahun baharu adalah sebagai helah melarikan mereka.
Katanya, dia mula mengesyaki sesuatu apabila mendapati Seinwin tidak menghantar anaknya Norhusna Abdullah, 8; Najwa ,6; Sumaiyah, 5; dan Harun, 3, seperti waktu yang dijanjikan.
"Ternyata sangkaan saya tepat apabila gagal menghubungi telefon bimbitnya. Kebiasaannya, jika dia membawa anak-anak keluar, dia akan menghantar semula mereka kepada saya pada masa yang dijanjikan.
"Saya kemudian terus membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang. Sehingga hari ini, polis masih belum dapat mengetahui lokasi anak saya berada," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Khatijah mendakwa, dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan bekas suaminya itu setelah mereka bercerai sejak dua tahun lalu walaupun ada kalanya mereka bergaduh mengenai hak penjagaan anak-anak.
Jelasnya, dia buntu mencari anak-anaknya dan berharap orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mereka dan lelaki berkenaan agar menghubunginya di talian 016-3094205.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140108/je_04/Niat-baik-ibu-tunggal-bertukar-malang#ixzz2pnJOQ1vN
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment