Search This Blog

Thursday, January 16, 2014

Nahas melintas cara haram

Nahas melintas cara haramAnggota bomba mengangkat mayat pasangan suami isteri warga tua yang mati dirempuh komuter di Jalan Reko, Kajang, pagi semalam. Kajang: Sepasang suami isteri warga tua yang dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membeli barangan keperluan, maut dilanggar komuter ketika menyeberang landasan kereta api berhampiran Jalan Reko di sini, semalam.

Md Nor Lian, 75, dan isteri, Noriah Mat Ani, 65, dirempuh komuter kira-kira jam 1.25 tengah hari, kira-kira 200 meter dari kediaman mereka di rumah pangsa Taman Kajang Utama.

Pasangan itu yang parah di kepala, perut dan kaki selepas diseret hampir tiga kilometer (km) sebelum terpelanting ke dalam parit, meninggal dunia di tempat kejadian.

Difahamkan, pemandu komuter yang dalam perjalanan dari Seremban ke Rawang tidak menyedari melanggar pasangan itu.

Bagaimanapun, pemandu itu memberhentikan komuter setelah mengesan sesuatu yang tidak kena.

Melintas di kawasan larangan

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kajang, Missan Bennu, berkata sepasukan tujuh anggota bomba dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan.
“Mangsa dipercayai melintas di kawasan yang dilarang, tetapi ia sering digunakan penduduk sebagai jalan pintas,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab, yang mengesahkan kejadian, berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Kajang (HK) untuk bedah siasat.

Sementara itu, suasana hiba menyelubungi pekarangan bilik mayat HK apabila saudara mangsa, termasuk ahli keluarga pasangan berkenaan berkumpul di situ.

Menyayat hati

Seorang saudara terdekat mangsa yang enggan dikenali, berkata dia tidak menyangka akan kehilangan pasangan itu serentak dalam kejadian yang amat tragis.

“Sukar untuk menerima hakikat mereka pergi serentak... kejadian ini amat menyayat hati,” katanya.

Jenazah pasangan itu dikebumikan di tanah perkuburan Sungai Sikamat di sini.

No comments:

Post a Comment