Search This Blog

Friday, January 24, 2014

‘Mustahil palsu’


Oleh Ibrahim Isa
Johor Bahru: “Saya membayar RM4,000 kepada bapa saudara untuk membuat permit, mustahil ia palsu,” kata seorang wanita warga Indonesia dikenali sebagai Dewi, 30-an, semalam.

Wanita itu seorang daripada 16 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan Jabatan Imigresen Johor dalam serbuan di asrama pekerja asing di Taman Bukit Indah 2 di sini, jam 11 malam semalam.

Menurutnya, dia yakin permit kerjanya itu tulen kerana diuruskan bapa saudaranya.

“Mustahil bapa saudara menipu saya.



Saya habiskan banyak belanja membuat permit kerja ini,” katanya yang menangis teresak-esak kerana sedih diperdaya.

Sementara itu, Timbalan Penolong Pengarah Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Johor Sapian Kamaruddin berkata, pemeriksaan terhadap permit kerja wanita berkenaan mendapati ia palsu.

“Bukan setakat cop pada permit kerja, malah cop di pintu masuk ke negara ini juga palsu.

“Wanita terbabit mendakwa tidak pernah berurusan menguruskan permit kerja berkenaan, sebaliknya diuruskan bapa saudaranya,” katanya di lokasi kejadian.

Wanita terbabit ditahan bagi membantu siasatan.

Menurutnya, pada operasi itu, 19 pekerja warga Indonesia diperiksa dengan tiga dilepaskan selepas menunjukkan pasport dan permit kerja sah.

Katanya, siasatan mendapati lima wanita dan 14 lelaki berusia 20-an hingga 30-an tinggal di tingkat dua bangunan rumah kedai dua tingkat itu dengan bilik wanita hanya dipisahkan dengan kanvas.

“Semua mereka bekerja di sebuah tapak pembinaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen sah dan Seksyen 15 (1) (c) kerana tinggal melebihi masa,” katanya.

Foto
ANTARA PATI yang diperiksa dalam serbuan di Taman Bukit Indah.
Foto
ANGGOTA Imigresen menunjukkan perbezaan pasport tulen dan palsu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24

No comments:

Post a Comment