Search This Blog

Monday, January 13, 2014

Mohamad Salleh saman Nurul Izzah, Saifuddin


Mohamad Salleh Ismail
KUALA LUMPUR 13 Jan. - Pengerusi National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFCorp), Datuk Seri Dr. Mohamad Salleh Ismail memfailkan saman fitnah terhadap Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution berhubung isu pembelian lapan unit kondominium di KL Eco City.
Writ saman itu difailkan oleh firma guaman Tetuan Wan Shahrizal, Hari & Co, di Mahkamah Tinggi di sini pada 24 Disember tahun lalu berikutan kenyataan Nurul Izzah dalam penerbitan di Malaysia Kini TV yang disiarkan pada 7 Mac 2012.
Mohamad Salleh sebagai plaintif pertama manakala NFCorp plaintif kedua menamakan Nurul Izzah dan Saifuddin, masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua.
Peguam Y. Sheelan Samuagam yang mewakili Mohamad Salleh, 65, memberitahu pemberita, Hakim Datuk Hue Siew Kheng menetapkan 27 Februari ini untuk pengurusan kes itu.
Dalam pernyataan tuntutannya, pihak plaintif menyatakan, Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR dalam penerbitan berkenaan telah membuat pernyataan berdasarkan kenyataan yang dibuat oleh Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dengan mendakwa beliau telah membeli lapan unit kondominium itu menggunakan dana awam yang telah disalurkan oleh NFCorp.
Mohamad Salleh mendakwa, Nurul Izzah membuat pernyataan fitnah terhadapnya dan NFCorp dalam kandungan penerbitan itu yang difahami dan membawa maksud oleh keseluruhan masyarakat bahawa beliau menggunakan wang NFCorp untuk dijadikan sandaran dan sokongan bagi mendapatkan pinjaman pembelian kondominium itu.
Selain itu, dakwa Mohamad Salleh kandungan penerbitan itu membawa maksud beliau dan keluarga telah menyalahgunakan wang NFCorp untuk membeli kondominium bagi kegunaan peribadi mereka dan bukan untuk NFCorp.
Menurut beliau, Nurul Izzah melalui penerbitan tersebut membawa maksud antaranya beliau dan NFCorp sebagai tidak amanah, penjenayah, tamak dan beliau menggunakan jawatan isteri untuk mengaut kekayaan serta menggunakan wang kerajaan dan wang rakyat untuk meraih kekayaan peribadi dan menjalani kehidupan mewah.
Fitnah tersebut menurut Mohamad Salleh menyebabkan keperibadiannya sebagai ahli perniagaan dan suami kepada seorang menteri Kabinet ketika itu serta seorang bapa telah dihina, dimusnahkan dan dikritik masyarakat tanpa had.
Akibat fitnah itu juga katanya, NFCorp telah mengalami kerugian dan segala pelaburan bagi pembangunan perniagaan di dalam dan luar negara telah musnah sekelip mata manakala kemudahan pembiayaan oleh institusi kewangan diberhentikan dan ditarik balik.
Sementara itu, Mohamad Salleh berkata, Saifuddin bertanggungjawab atas penerbitan itu yang telah dibuat oleh PKR dan Nurul Izzah atas kapasitinya sebagai ahli PKR.
Justeru itu Mohamad Salleh menuntut ganti rugi teruk dan teladan serta memohon perintah injunksi menghalang kedua-dua defendan dan pihak yang berkaitan dengan mereka daripada berterusan menerbitkan sebarang kenyataan mengenai pembelian kondominium itu dengan menggunakan maklumat peribadi perbankan beliau dan NFCorp.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140114/ma_07/Mohamad-Salleh-saman-Nurul-Izzah-Saifuddin#ixzz2qXAtlEIX
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment