Search This Blog

Sunday, January 26, 2014

Minta maaf dengan majikan sebelum maut nahas


Kangar: “Arwah ada bagi tahu majikan tempat dia bekerja di kedai makan bahawa dia tidak akan datang lagi (berhenti kerja) selepas ini kerana akan pergi buat selama-lamanya.

“Arwah sempat minta maaf kepada majikan sekiranya ada salah dan silap,” kata Dina Che Din, 50, ibu kepada Mohammad Rahaizul Shakir Abd Rahim, 16, yang maut dalam kemalangan selepas motosikal yang dinaiki bersama rakannya bertembung dengan kereta Proton Perdana di simpang empat lampu isyarat Jalan Alor Setar-Kangar, dekat Behor Lateh, di sini malam kelmarin.


Mangsa adalah pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Alwi yang berasal dari Kampung Batu Lima, Jalan Kuala Perli, di sini terbabit dalam kemalangan yang berlaku pada jam 7 malam.



Mangsa maut di tempat kejadian selepas cedera parah di bahagian kepala dan badan manakala rakannya yang dikenali sebagai Bob dilaporkan masih dirawat di Unit Kecemasan Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini.


Difahamkan, pemandu kereta berkenaan termasuk tiga penumpang tidak mengalami kecederaan.


Bapa mangsa, Abd Rahim Bahari, 60, berkata kali terakhir dia melihat anak keenam daripada lapan beradik itu ialah sebelum dia keluar ke Simpang Empat, di sini untuk menjemput cucunya selepas aktiviti petang di sekolahnya.

Beliau berkata, dia mendapat tahu mengenai kejadian yang menimpa anaknya itu selepas dimaklumkan penduduk kampung selepas pulang ke rumah.


“Saya cuba kuatkan semangat dan mengajak isteri saya untuk ke lokasi kejadian. Apabila tiba di lokasi kemalangan, kami nampak mayat seorang lelaki yang sudah ditutupi kain. “Ibunya tidak berani untuk menghampiri dan meminta saya untuk pergi melihatnya. Lemah seluruh tubuh badan saya apabila melihat mangsa kemalangan adalah anak saya sendiri setelah membuka sebahagian kain itu untuk melihat muka arwah,” katanya yang ditemui di HTF, di sini semalam.

Abd Rahim berkata, dia dimaklumkan beberapa rakan anaknya arwah pergi ke Utan Aji untuk mengisi minyak motosikal bersama seorang rakan bernama Bob sebelum tiba di lokasi kejadian dipercayai menghala ke Kuala Perlis.


“Sebagai bapa, saya redha dengan pemergiannya. Arwah pernah menyimpan cita-cita untuk menjadi tentera apabila tamat sekolah nanti,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar Superintenden Abd Rahman Mohd Noordin ketika dihubungi mengesahkan kemalangan yang berlaku dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987. Orang ramai yang melihat kejadian itu diharap dapat tampil membuat laporan di Balai Polis Trafik Kangar atau mana-mana balai Polis berhampiran untuk membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/26

No comments:

Post a Comment