Search This Blog

Sunday, January 19, 2014

Tak sempat cakap dengan ibu



NAGARATNAM, (duduk) tidak dapat menahan kesedihan selepas mendengar berita mengenai anaknya Dr. N. Gnanathurai yang maut dalam satu serangan berani mati di Kabul, Afganistan ketika ditemui di rumahnya di Bukit Pantai, Bangsar, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/AMIR HAFIZ ABD. RAHMAN
KUALA LUMPUR 19 Jan. - Hajat rakyat Malaysia yang terbunuh dalam serangan berani mati di Kabul, Afghanistan, Dr. N. Gnanathurai, 66, untuk bercakap dengan ibunya melalui telefon beberapa jam sebelum kejadian itu tidak kesampaian.
Menurut adik bongsu mangsa, N. Premnath, 54, ibunya, Nagaratnam, 88, yang menghidap stroke serta tinggal di rumah Gnanathurai di Jalan Bukit Pantai di sini sedang tidur ketika panggilan itu dibuat Jumaat lalu.
Bagaimanapun Gnanathurai sempat bercakap dengan Premnath yang baru tiba di tanah air dari Amerika Syarikat pada hari sama.
"Kami bercakap seperti biasa sahaja dan amat santai. Beliau kemudian meminta untuk bercakap dengan ibu, bagaimanapun ibu sedang tidur.
"Beliau ada juga memaklumkan agak keberatan untuk keluar makan di restoran (tempat serangan) pada malam itu namun terpaksa kerana majlis itu turut dihadiri oleh orang kenamaan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Dalam kejadian Jumaat lalu, Gnanathurai maut setelah terlibat dalam kejadian serangan berani mati dan tembakan rambang di sebuah restoran popular di ibu negara Afghanistan itu.
Premnath berkata, abangnya itu turut menyatakan yang beliau akan pulang ke tanah air pada Isnin depan.
Menurut Premnath, kali terakhir beliau berjumpa dengan Gnanathurai ialah pada Disember lalu di Amerika Syarikat setelah abangnya itu datang ke rumahnya di sana bersama anak dan isterinya bagi meraikan hari Krismas.
Katanya, Gnanathurai meninggalkan dua isteri iaitu Gisela dan Elleanor serta empat orang anak yang masing-masing menetap di Sweden dan Amerika Syarikat.
Sementara itu, katanya, beliau sekeluarga dimaklumkan mengenai insiden itu semalam oleh badan penasihat ekonomi antarabangsa, Adam Smith International yang merupakan majikan abangnya.
"Kami amat terkejut dengan berita tersebut dan selepas itu kami hanya menonton berita dunia mengenai kejadian berkenaan di televisyen bagi mengetahui perkembangan seterusnya," katanya.
"Buat masa ini kami masih lagi menunggu keputusan majikan Ghanathurai untuk urusan membawa pulang mayat kerana Malaysia tidak mempunyai kedutaan di sana," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140120/dn_10/Tak-sempat-cakap-dengan-ibu#ixzz2qsxzzhsC
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment