Search This Blog

Friday, January 24, 2014

‘Makanan’ RM2 juta dirampas

Oleh Mohd Fadly Samsudin
Kuala Lumpur: Satu sindiket memborong dan mengimport ubat tidak berdaftar dari Myanmar bernilai lebih RM2 juta ditumpaskan anggota penguat kuasa Farmasi Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKWPKL) selepas melakukan serbuan di enam lokasi sekitar ibu negara, semalam.
Operasi bersepadu selama empat jam berakhir jam 2 petang itu disertai 60 anggota termasuk 10 anggota dari Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta 20 anggota penguat kuasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di kawasan Leboh Pudu, Jalan Loke Yew, Bangsar dan Persiaran Syed Putra.
Difahamkan, bagi mengaburi mata pihak berkuasa sindiket terbabit meletakkan ubat-ubatan berkenaan dalam bungkusan dilabel sebagai barang makanan.
Pemangku Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Farmasi) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Syed Fadzli Syed Sailuddin berkata, kebanyakan produk yang dirampas mengandungi racun berbahaya sehingga boleh membawa maut.
“Serbuan pertama dijalankan di Leboh Pudu yang dipercayai menjadi pusat pemborong dan pengedar ubat-ubatan haram berkenaan yang mendapat permintaan tinggi daripada kalangan pelanggan yang juga warga Myanmar.
“Siasatan lanjut di premis ini membawa kepada penemuan dua stor penyimpanan di sebuah banglo di Jalan Limau Kasturi, Bangsar dan sebuah rumah teres di Persiaran Syed Putra 4,” katanya, semalam.
Beliau berkata, antara ubat yang dirampas termasuk dari produk seks lelaki, pemutih kulit, sakit badan, pil perancang dan antibiotik.
“Kesalahan menjual ubat tidak berdaftar di negara ini boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Jualan Dadah 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun atau denda RM25,000 bagi individu manakala RM50,000 bagi syarikat,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Kesihatan Bahagian Penguat kuasa Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Mazlan Ismail berkata, setiap produk kesihatan perlu berdaftar dengan KKM bagi menentukan statusnya terjamin.
“Bagi operasi kali ini, empat warga Myanmar berusia antara 30 hingga 40-an ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.
Foto
MAZLAN menunjukkan ubat-ubatan dari Myanmar yang dirampas.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24

No comments:

Post a Comment