Search This Blog

Friday, January 24, 2014

‘Maaf, tiada kompromi lagi...’

 Oleh Raja Noraina Raja Rahim
Seremban: Pendekatan berhemah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam Op Selamat sebelum ini seolah-olah memberi ruang kepada pengguna untuk tidak mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan.
Demikian kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin selepas melancarkan Op Selamat ke-4 sempena perayaan Tahun Baru Cina di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Seremban arah selatan, di sini, semalam.
Bakri berkata, pihaknya menukar pendekatan itu dengan mengambil pendekatan penguatkuasaan menyeluruh iaitu tidak berkompromi terhadap pengguna lalu lintas yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan dalam Op Selamat yang dijadualkan selama 15 hari bermula hari ini.
“Dalam pendekatan itu, kami (polis) tidak lagi memberi peluang kepada mereka.
Minta maaf, sudah cukup kerana sudah banyak kami beri mereka peluang hingga dikhuatiri tindakan mereka (pesalah lalu lintas) akan menjejaskan pengguna jalan raya lain.
“Kami mengambil tindakan terhadap kesalahan yang sering berlaku contohnya kelajuan, melanggar lampu isyarat, memotong barisan dan memotong di garisan berkembar.

Itu kesalahan yang menjurus kepada kemalangan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Op Selamat ke-4, semalam.
Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Ismail Ahmad, Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Datuk Dr Tam Weng Wah, Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Datuk Seri Salleh Mat Rashid, Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Osman Salleh dan Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) Datuk Noorizah Abd Hamid.
Menurutnya, PDRM turut bekerjasama dengan agensi lain termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat, JPJ, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).
Selain itu, dalam majlis berkenaan, Bakri turut menyerahkan 51 motosikal kepada kontinjen Negeri Sembilan untuk kegunaan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) daripada 800 motosikal bagi menjalankan rondaan cegah jenayah sempena musim perayaan ini.
“Polis akan berusaha memastikan rumah yang ditinggalkan berada dalam keadaan selamat daripada perlakuan jenayah sempena Op Selamat yang bertemakan ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai ke Destinasi’.
“Orang ramai yang mahu pulang ke kampung digalakkan mengisi borang balik kampung yang boleh dimuat turun melalui portal rasmi PDRM untuk polis membuat rondaan cegah jenayah di rumah mereka,” katanya.
Sementara itu, Noorizah turut menggalakkan pengguna mematuhi jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) dikeluarkan PLUS bagi mengelakkan kesesakan teruk di lebuh raya dan kawasan hentian R&R.
Beliau berkata, pengguna lebuh raya yang menggunakan kad PLUSMiles, Touch ‘n Go atau SmartTAG juga bakal menikmati rebat yang akan diumumkan Menteri Kerja Raya minggu depan bagi membantu kerajaan supaya pengguna beralih daripada pembayaran tunai kepada pembayaran secara elektronik.
Foto
BAKRI (tengah) bersama Osman (kiri) melihat motosikal yang digunakan anggota polis untuk membuat rondaan pada majlis pelancaran Op Selamat 4/2014 sempena Tahun Baru Cina di Hentian Rehat Seremban arah selatan, semalam.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24

No comments:

Post a Comment