Search This Blog

Friday, January 24, 2014

Lima polis maut ditembak

Kaherah: Lima anggota polis terbunuh selepas sekumpulan lelaki bertopeng yang menunggang motosikal melepaskan tembakan di satu sekatan jalan raya di tengah bandar raya ini, semalam.
Dua lagi anggota polis cedera dalam serangan berkenaan.

Sehingga ini belum ada pihak mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu.
Mesir menyaksikan peningkatan serangan yang menyasarkan anggota polis dan tentera sejak rampasan kuasa tentera menggulingkan Presiden Mohamed Mursi Julai tahun lalu.

Serangan paling buruk ialah cubaan membunuh menteri dalam negeri di Kaherah September lalu dan pengeboman berani mati pada Disember yang menyasarkan ibu pejabat keselamatan di Mansoura di Delta Nil yang meragut 16 nyawa, kebanyakan anggota polis.

Dalam serangan semalam, penyerang bertopeng yang menunggang dua motosikal dan dilengkapi senjata automatik melepaskan tembakan ke arah sekatan polis di daerah el-Wassta di wilayah Bani Suief, selatan Kaherah, menurut kenyataan pihak berkuasa. Kumpulan lelaki bersenjata itu kemudian melarikan diri, kata dua pegawai keselamatan.
Foto
PENDUDUK Mesir, seorang memakai topeng Guy Fawkes membakar bendera Amerika Syarikat ketika penyokong Ikhwanul Muslimin menunjuk perasaan di Kaherah semalam.
Serangan itu berlaku beberapa hari sebelum rakyat Mesir meraikan ulang tahun ketiga kebangkitan 25 Januari yang menyingkirkan Presiden Hosni Mubarak. Mesir me yaksikan beberapa siri keganasan politik sejak penyingkiran Hosni pada 2011 tetapi serangan yang menyasarkan anggota polis dan tentera kian meningkat selepas rampasan kuasa menggulingkan Mursi.

Kerajaan disokong tentera menyalahkan pergerakan Ikhwanul Muslimin yang dicopnya pengganas bertanggungjawab terhadap kebanyakan serangan itu. - AP
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24

No comments:

Post a Comment