Search This Blog

Friday, January 24, 2014

Lima penjenayah ditahan


MOHD. Mokhtar Mohd. Shariff menunjukkan Toyota Hilux yang dilarikan suspek di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahru, semalam. - UTUSAN/BAAZLAN IBRAHIM
JOHOR BAHRU 23 Jan. - Polis menahan lima penjenayah termasuk seorang wanita yang melarikan diri lebih 100 kilometer setelah menyamun dan melarikan sebuah Toyota Hilux di sebuah stesen minyak dekat Yong Peng, Batu Pahat kelmarin.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, kejadian berlaku pada pukul 12.30 tengah hari apabila empat daripada suspek menyamun dan melarikan kenderaan itu yang dimiliki seorang lelaki berusia 50 tahun.
"Polis yang menerima maklumat tentang kejadian telah mengadakan beberapa sekatan jalan raya selepas mendapati kesemua suspek melarikan diri ke arah Segamat.
"Menyedari mereka diburu, suspek kemudian meninggalkan kenderaan pacuan empat roda tersebut di sebuah kawasan di Jementah sebelum melarikan diri dengan sebuah kereta Proton Gen2," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Mohd. Mokhtar berkata, sebaik tiba di Tangkak, suspek bertindak melanggar kereta peronda polis yang sedang membuat sekatan selain lima penunggang motosikal.
Menurutnya, kereta tersebut bagaimanapun terbabas berhampiran sebuah ladang kelapa sawit sebelum kesemua suspek berjaya ditahan polis.
"Salah seorang suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah dan samun. Kita percaya penahanan kesemua suspek ini berjaya menyelesaikan enam kes samun di daerah Batu Pahat.
"Kereta yang digunakan suspek pernah dilaporkan dicuri di Danga Bay, Johor Bahru sebelum ini dan susulan penahanan kumpulan tersebut, kita turut merampas satu paket dadah dan sebuah komputer riba," katanya.
Tambah Mohd. Mokhtar, pihaknya masih memburu saki baki kumpulan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 dan 307 Kanun Keseksaan serta Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140124/je_05/Lima-penjenayah-ditahan#ixzz2rGOPElxK
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment