Search This Blog

Friday, January 24, 2014

Lesen memandu dibatal serta-merta

Kuala Lumpur: Rakyat tempatan yang dikesan memandu di bawah pengaruh dadah dan alkohol akan dibatalkan lesen serta-merta apabila Sistem Profil Pemandu (SPP) dikuatkuasakan tidak lama lagi.
SPP sebelum ini dilapor akan berkuat kuasa ke atas pemandu cuai yang menyebabkan kemalangan termasuk hingga membawa kepada kematian.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abd Aziz Kaprawi berkata, pihaknya sedang menambah baik Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi membolehkan tindakan itu, sekali gus mengurangkan kadar kemalangan khususnya membabitkan kenderaan komersial.
“Sistem baru itu menggantikan Sistem Merit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA) yang menggantung dan membatalkan lesen mengikut sistem demerit sejak Oktober lalu.
“Malah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sudah diarah menyerahkan laporan serta senarai pemandu cuai kepada Kementerian Pengangkutan bagi membolehkan tindakan tegas, termasuk membatalkan lesen pemandu berkenaan,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Sambutan Tahun Baru Cina Peringkat Wilayah Persekutuan di Plaza Tol Sungai Besi arah selatan, semalam.
Menurutnya, jika pemandu yang disenaraikan itu mempunyai rekod kesalahan serta kemalangan banyak dan dianggap berbahaya kepada awam, lesen memandu mereka akan dibatalkan serta-merta termasuk yang terbabit dengan alkohol dan dadah.
“Kementerian bertindak mengkaji Akta Pengangkutan Jalan sedia ada berikutan dalam klaus sebelum ini tidak dinyatakan jenis kesalahan dengan tepat.

“Malah kementerian yakin dalam tempoh dua bulan akta baru ini akan dikuatkuasakan,” katanya mengulas kes kemalangan maut membabitkan kenderaan komersial termasuk di Kilometer 3.6 Jalan Genting Highlands-Kuala Lumpur pada 21 Ogos lalu.
Foto
ABD Aziz membetulkan ikatan topi keledar penunggang motosikal di Tol Sg Besi.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24

No comments:

Post a Comment