Search This Blog

Wednesday, January 8, 2014

Lelaki tumbuk ibu dipenjara 18 bulan


Amirullah (tengah) yang diiringi anggota polis dibawa keluar dari bangunan Mahkamah Majistret Seremban, semalam selepas dijatuhi hukuman penjara 18 bulan atas tuduhan memukul ibu kandungnya. - UTUSAN/Abd. Razak Aid
RASAH 7 Jan. - Gara-gara bertindak kasar dengan menumbuk ibu kandung sendiri sehingga lengan kiri mangsa retak, seorang lelaki menerima balasan hari ini apabila dihukum penjara 18 bulan oleh Mahkamah Majistret Seremban di sini.
Amirullah Sendreng, 24, dijatuhi hukuman tersebut setelah mengaku bersalah atas tuduhan menyebabkan ibunya, Roslina Hassan, 54, cedera parah.
Anak keenam daripada lapan adik-beradik itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah rumah No. 29, Jalan 10, Taman Desa Rhu di sini pada pukul 7.40 pagi, 9 Jun tahun lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, Sara Afiqah Zulkipli mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.
Sebelum menjatuhkan hukuman, Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh sempat menasihati tertuduh supaya berjumpa dan memohon maaf kepada ibunya atas perbuatan tersebut.
"Emak kamu yang melahirkan kamu. Kalau tiada emak kamu, kamu tidak akan lahir ke dunia ini. Jumpa emak kamu dan minta maaf," katanya.
Ibu tertuduh bagaimanapun tidak hadir di mahkamah.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, tertuduh dipercayai mengamuk kerana tidak berpuas hati selepas mangsa membenarkan kenalan bapanya masuk ke dalam rumah lalu mengeluarkan kata-kata kesat dan memukul wanita itu dengan tangan.
Tidak cukup dengan itu, tertuduh turut menampar, menumbuk dan menendang mangsa sehingga menyebabkan wanita itu cedera di tangan kiri.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140108/ma_01/Lelaki-tumbuk-ibu-dipenjara-18-bulan#ixzz2pnGbuOxp
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment