Search This Blog

Monday, January 13, 2014

Lelaki lepas geram



ORANG ramai melihat lelaki yang memecahkan cermin skrin tujuh mesin ATM ditahan polis di Menglembu, Ipoh kelmarin.


IPOH – Seorang lelaki melepaskan kemarahannya kepada tujuh buah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) selepas kad banknya disekat sebuah mesin di sebuah bank di Menglembu di sini kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira 10 malam itu, suspek berusia 34 tahun yang bersendirian cuba mengeluarkan wang daripada sebuah mesin ATM di bank tersebut.
Difahamkan, hasrat lelaki dari Taman Pinji Mewah, Lahat dekat sini yang berada dalam keadaan mabuk itu terbantut selepas dia tersalah memasukkan nombor pin pengeluaran menyebabkan kadnya ‘ditelan’ mesin.
Akibatnya, lelaki tersebut bertindak ala samseng dengan merosakkan cermin skrin tujuh buah mesin yang terdapat di premis tersebut.
Seorang saksi berusia 29 tahun yang enggan dikenali memberitahu, suasana di sekitar bank tersebut kecoh dengan tindakan lelaki tersebut yang menarik perhatian orang awam di kawasan itu.
“Saya pada mulanya menyangka lelaki tersebut mahu memecahkan mesin ATM menggunakan sebilah pisau dan melarikan wang di dalamnya.

KEADAAN mesin ATM yang dirosakkan seorang lelaki setelah kad banknya disekat.


“Rupa-rupanya lelaki itu hanya melepaskan geram selepas kad banknya gagal dikeluarkan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Orang ramai yang ingin menggunakan perkhidmatan mesin ATM di bank tersebut terpaksa membatalkan hasrat mereka.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, polis yang bergegas ke tempat kejadian berjaya menahan suspek.
“Kita turut merampas sebilah pisau yang digunakan lelaki itu untuk memecahkan cermin skrin mesin ATM.
“Siasatan awal mendapati lelaki itu berada dalam keadaan mabuk dan suspek bertindak sedemikian kerana berang selepas kad mengeluarkan wangnya ‘ditelan’ salah sebuah daripada mesin ATM berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Katanya, lelaki itu kini ditahan untuk siasat lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0113&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz2qGzLKq6x 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment