Search This Blog

Friday, January 24, 2014

Langsung kunci mulut

Oleh Raja Puteri Nabiha Raja Ayub
Klang: Seorang lelaki yang ditahan kerana menjadikan sebuah rumah di bandar ini sebagai stor menyimpan serta memproses dakwat katrij dan toner tiruan sanggup ‘mengunci mulut’ daripada mendedahkan rangkaian kegiatan haramnya selain enggan menjawab sebarang pertanyaan yang diajukan pihak berkuasa.
Lelaki berkenaan bertindak demikian ketika ditahan dalam serbuan dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya yang membawa kepada rampasan 3,000 unit katrij tiruan bernilai kira-kira RM1.5 juta dalam tiga serbuan berasingan di Taman Bayu Tinggi dan Taman Batu Nilam, kira-kira jam 6 petang, kelmarin.
Dalam serbuan berkenaan, lelaki berusia 30-an itu enggan memberikan kerjasama dan tidak mendedahkan sebarang maklumat kepada pegawai penguat kuasa mengenai perisian operasi sindiketnya walaupun beberapa kali disoal pegawai kementerian berkenaan.

Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Mohd Roslan Mahayudin berkata, serbuan dilakukan selepas menerima aduan daripada pengguna mengenai penipuan dakwat katrij dan toner tiruan berkenaan.
Foto
PEGAWAI penguat kuasa KPDNKK memeriksa katrij dan toner tiruan yang ditemui.

Menurutnya, hasil siasatan di lokasi serbuan itu, pihaknya mendapati sebuah rumah di Taman Batu Nilam itu dijadikan pusat memproses toner tiruan berkenaan sebelum dijual di pasaran dengan harga yang lebih murah.

“Sindiket ini akan membeli dakwat serta toner kosong daripada pejabat yang tidak menggunakannya sebelum mengisi semula toner tiruan lalu menjualnya kepada orang ramai.
“Siasatan mendapati bahan tiruan ini dihantar dan dijual di semua negeri pada harga yang lebih murah daripada yang tulen dan ini menarik perhatian kebanyakan pengguna,” katanya.

Mohd Roslan berkata, pengguna hanya menyedari mereka ditipu sindiket berkenaan selepas melakukan percetakan dan mendapati hasilnya tidak jelas dan tidak tahan lama kerana warna pencetak tiruan itu akan pudar.

Menurutnya, seramai lima lelaki berusia antara 20 hingga 40-an ditahan dan sudah dibebaskan semalam selepas keterangan mereka direkodkan.

“Siasatan lanjut masih lagi dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24

No comments:

Post a Comment