Search This Blog

Friday, January 24, 2014

Kepulan asap rumah sendiri

Oleh Zuliaty Zulkiffli
Alor Setar: “Saya rasa tidak sedap hati apabila ternampak kepulan asap tebal dari kawasan rumah lalu meminta suami berpatah balik kerana teringatkan ibu mentua dan anak lelaki sulung. Saya terkejut apabila mendapati kediaman kami dijilat api.”
Begitu kata Zainatul Nizam, 34, yang tinggal sehelai sepinggang apabila rumah keluarganya musnah dalam kebakaran di Jalan Keretapi, Limbung Kapal, dekat sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 7 malam, Zainatul yang sarat hamil sembilan bulan dalam perjalanan ke sebuah klinik gigi di pusat bandar bersama suaminya, Mohd Rozi Ishak, 37, dan tiga anak mereka berusia antara empat hingga sembilan tahun.
Menurutnya, dia terkejut melihat kepulan asap tebal di ruang udara sekitar kawasan rumahnya lalu mengambil keputusan untuk berpatah balik kerana bimbang keselamatan ibu mentuanya, Che Om Shaari, 60, dan anak sulungnya, Muhammad Danial Mohd Rozi, 13.
Katanya, apabila sampai di hadapan rumah, dia melihat suasana ketika itu kelam-kabut dan penduduk kampung berhampiran memberitahu rumah mereka sedang dijilat api.
“Saya bersyukur apabila nampak ibu mentua dan Muhammad Danial berjaya menyelamatkan diri serta sedang duduk di hadapan sebuah rumah tinggal tidak jauh dari rumah kami yang terbakar.
“Walaupun sedih kerana semua peralatan dalam rumah termasuk barangan bayi yang sudah siap dibeli hangus, saya bersyukur kerana semuanya selamat dalam kejadian itu.
“Lebih menyedihkan apabila semua pakaian dan peralatan sekolah anak-anak saya serta barang berharga lain turut musnah dalam kebakaran ini,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.
Che Om berkata, ketika kejadian, dia baru selesai membakar sampah sambil menyiapkan bantal kekabu untuk dijual di hadapan rumah, manakala cucu lelakinya ketika itu berada dalam rumah.
“Ketika itu, tiada sesiapa melalui kawasan ini dan Muhammad Danial yang terkejut melihat api semakin marak bertindak keluar dari rumah untuk meminta tolong daripada orang ramai.
“Saya hanya sempat menyelamatkan diri kerana bimbang sesuatu buruk berlaku dan pada masa sama, pasukan bomba tiba untuk memadam kebakaran,” katanya yang sudah 20 tahun menetap di rumah berkenaan.
Sementara itu, Pegawai Operasi Zon 1 Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Tun Razak Safuwan Md Saad berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 7.30 malam dan sepasukan 23 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar serta Jalan Raja tiba di lokasi kejadian 10 minit kemudian.
Katanya, sebaik tiba anggota bomba berusaha memadam api yang sedang menjilat rumah setingkat separa kayu dan batu daripada merebak ke tempat lain berikutan kawasan itu terdapat kayu yang mudah terbakar.
“Api berjaya dipadamkan kira-kira 15 minit kemudian dan tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.
Kita masih menyiasat punca dan jumlah kerugian dalam kebakaran itu,” katanya.
Foto
ROZI (kanan) bersama saudaranya menunjukkan motosikal dan rumahnya hangus dalam kebakaran.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24

No comments:

Post a Comment