Search This Blog

Friday, January 24, 2014

Kenalan FB rupa-rupanya penyangak

Oleh Arifin Salleh
Melaka: Malang bagi seorang penyelia sebuah pasar raya apabila kerugian lebih 7,000 selepas diperdaya lelaki baru dikenali melalui laman sembang sosial di bandar ini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 10.30 pagi, mangsa Fazliana Mahat, 28, dikatakan keluar dengan lelaki dikenali seminggu lalu sebelum rantai leher dan gelang tangan serta telefon pintarnya dilarikan.
Menurut Fazliana, lelaki yang mendakwa masih bujang dan berasal dari Johor Bahru itu datang menaiki bas ke Melaka pagi kelmarin sebelum menghubunginya.
“Lelaki itu menghubungi saya dan memberitahu sudah berada di stesen bas Melaka Sentral lalu menyuruh datang menjemputnya.

Saya yang tidak mengesyaki niat sebenar lelaki itu pergi menjemputnya sebelum dia meminta untuk menemui orang tua saya.
“Malah, ketika bersembang melalui FB, dia beberapa kali menyatakan kesudian untuk mengambil saya sebagai teman hidup walaupun kami baru beberapa hari berkenalan,” katanya ketika ditemui di sini, malam kelmarin.
Fazlianaberkata, selepas 10 minit, lelaki itu mempelawanya untuk keluar bersiar-siar di sekitar pusat bandar sebelum singgah di sebuah kedai emas untuk membeli barang kemas.
Katanya, lelaki terbabit memberitahu dia hendak membeli emas untuk ibunya dan tidak jadi membelinya sebelum ke beberapa kedai emas lain berdekatan.
“Malah, lelaki itu meminta rantai leher dan gelang emas dipakai kononnya untuk dijadikan contoh kepada pekerja kedai emas.
Foto
FAZLIANA menunjukkan bagaimana rantai emasnya diambil.

Dia membuka sendiri rantai leher dan gelang tangan dan saya seolah dipukau dan tidak membantah tindakannya itu.

“Tidak lama kemudian kami singgah di sebuah kedai makanan segera sebelum lelaki itu pergi ke kaunter untuk memesan makanan, manakala saya pergi mencari tempat duduk,” katanya.
Menurut Fazliana, tidak lama kemudian lelaki itu datang dan membawa makanan dipesan sebelum sekali lagi pergi ke kaunter untuk memesan tambahan makanan.
“Selepas beberapa lama menunggu saya dapati lelaki itu tidak muncul dan berusaha mencarinya di kawasan sekitar, namun gagal sebelum menyedari ditipu sebelum menghubungi keluarga memaklumkan kejadian.
“Bukan setakat barang kemas, malah lelaki itu turut melarikan telefon pintar saya yang baru dibeli beberapa minggu lalu,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24

No comments:

Post a Comment