Search This Blog

Thursday, January 23, 2014

Kejar kakak dengan parang


23 Januari 2014
Kejar kakak dengan parang
Kejar kakak dengan parang Osman dijatuhi hukuman penjara 10 bulan oleh mahkamah majistret semalam, selepas mengaku bersalah dengan sengaja telah melakukan ugutan jenayah terhadap kakak dan abang iparnya.



KUALA TERENGGANU- Bengang apabila permintaannya untuk mendapatkan sejumlah wang tidak dilayan si kakak, seorang pemuda bertindak mengejar mangsa dengan menggunakan sebilah parang, dalam satu kejadian 6 November tahun lalu.

Bukan itu sahaja, Osman Mohd Nasir, 32, dari Kulim, Tanjung Pauh, Bachok, Kelantan, turut bertindak memecahkan cermin kereta milik syarikat abang iparnya yang juga suami kepada mangsa.

Balasannya, Osman dijatuhi hukuman penjara 10 bulan oleh mahkamah majistret, semalam, selepas mengaku bersalah melakukan ugutan jenayah terhadap pasangan suami isteri berkenaan.

Dia mengaku bersalah dengan sengaja telah melakukan ugutan jenayah terhadap mangsa, Noraini Mohd Nasir dan Che Mohd Daud dengan cara mengejar menggunakan sebilah parang, di hadapan kedai makan, di Kampung Banggol Katong, di sini.

Dengan itu, Osman mengaku bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian kira-kira jam 10 malam, ketika mangsa berada di kedai makan miliknya di Kampung Banggol Katong, di sini, adiknya iaitu Osman atau nama panggilan Pok Su telah datang dalam keadaan marah-marah.

Punca Osman mengamuk dipercayai disebabkan bengang selepas permintaannya untuk mendapatkan sejumlah wang daripada mangsa tidak diendahkan.

Lebih membuatkan Osman naik angin apabila suami mangsa yang juga abang ipar kepada Osman telah cuba masuk campur dengan menenangkan dirinya yang ketika itu sedang marah-marah.

Osman kemudian mengejar kedua-dua mangsa dan memecahkan cermin kereta milik syarikat abang iparnya di bahagian tepi sebelah pemandu dengan parang.

Walaupun tidak mengalami sebarang kecederaan, bimbang keselamatan diri dan keluarga pada masa akan datang, mangsa membuat laporan polis sebelum Osman ditangkap beberapa jam kemudian.

No comments:

Post a Comment