Search This Blog

Wednesday, January 8, 2014

Kegiatan makmal mini terbongkar


AB. Rashid Ab. Wahab (tengah) menunjukkan antara peralatan yang dirampas sambil diperhatikan oleh Muhamad Syairazi (kanan) dan V. Sagaran pada sidang akhbar di IPD Kajang, Selangor, semalam.
KUALA LUMPUR 7 Jan. - Polis menumpaskan satu kumpulan yang aktif mengedar pil ekstasi di sekitar Lembah Klang dengan turut menjadikan sebuah rumah sewa di Seksyen 9, Bandar Mahkota Cheras di sini sebagai makmal mini dalam satu serbuan di rumah tersebut, pukul 2 petang Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab berkata, dalam serbuan itu, tiga lelaki berusia 27, 36 dan 37 tahun dan seorang gadis warga Vietnam berusia 22 tahun ditahan.
Menurutnya, pemeriksaan ke atas kediaman mereka menemukan beberapa jenis dadah bernilai RM50,000 serta peralatan memproses bahan tersebut selain sepucuk pistol jenis Colt .45 tanpa kelopak peluru.
"Kita sedang menyiasat dan mengesan pemilik senjata api tersebut. Barang-barang yang ditemui di dalam rumah itu adalah pil ekstasi sebanyak 618 biji, pil Eramin 5 (70 biji), serbuk disyaki dadah seberat 11.5 kilogram, serbuk disyaki dadah jenis ketamin seberat 84.57 gram, racun tikus, cecair mengandungi dadah dan peralatan memproses ekstasi.
"Semua suspek menyewa rumah itu sejak setahun lalu. Risikan mendapati kediaman tersebut mula dijadikan makmal dadah sejak sebulan lalu," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di sini hari ini.
Yang turut hadir pegawai penyiasat, Asisten Supritendan V. Sagaran dan Inspektor Muhamad Syairazi.
Kata beliau, kesemua suspek direman selama enam hari bermula Sabtu lalu dan akan didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukan hukuman mati mandatori.
Jelasnya, pemeriksaan lanjut mendapati ketiga-tiga lelaki itu berasal dari Pulau Pinang dengan seorang daripada mereka memiliki dua rekod jenayah lampau manakala seorang lagi pernah terbabit dengan tiga kes dadah dan dikehendaki oleh polis negeri itu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140108/je_06/Kegiatan-makmal-mini-terbongkar#ixzz2pnIOCoae
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment