Search This Blog

Sunday, January 26, 2014

Kedai perabot terbakar 50 peratus

SINAR HARIAN
26 Januari 2014

Kedai perabot terbakar 50 peratus
Kedai perabot terbakar 50 peratus Khairul melihat perabot majikannya yang hangus terbakar.



TUMPAT - Sebuah kedai perabot terbakar hampir 50 peratus dalam kejadian di Pasir Pekan di sini, kira-kira jam 6 petang kelmarin.

Kejadian kebakaran itu memusnahkan kelengkapan perabot seperti set sofa, meja makan, katil dan tilam yang disimpan di stor tingkat atas bangunan dua tingkat itu.

Pekerjanya, Khairul Razali, 22, berkata, ketika kejadian dia melalui jalan di belakang bangunan itu untuk bertemu rakan, namun dikejutkan dengan kepulan asap tebal.

“Bila nampak asap tebal berkepul-kepul, saya terus ke bahagian hadapan bangunan kedai dua tingkat ini. Ketika itu bomba sudah ada di situ memadamkan kebakaran.

“Asap itu rupanya datang dari stor  perabot milik majikan saya. Saya terus menghubungi majikan bagi memaklumkan kejadian kebakaran tersebut,” katanya.

Khairul berkata, dia tidak dapat menyelamatkan perabot tersebut kerana api marak dengan cepat di tingkat atas.

Menurutnya, kali terakhir dia ke bangunan dua tingkat itu pada hujung tahun lepas.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Tumpat, Raja Arisan Raja Semail berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 6.05 petang sebelum tiba ke lokasi kejadian kira-kira 17 minit kemudian.

Menurutnya, 20 anggota bomba dari Balai Bomba Tumpat, Balai Bomba Darul Naim dan Balai Bomba Kota Bharu dibantu empat jentera bergegas ke lokasi kejadian.

“Kita berjaya mengawal api dari terus merebak ke bangunan kedai sebelah dalam tempoh 20 minit. Hanya tingkat atas stor perabot itu terbakar.

“Bagaimanapun, kita turut berdepan kesukaran kerana bangunan dihalang jeriji dan bomba terpaksa memotong jeriji itu untuk memadam kebakaran,” katanya.

Dalam kejadian itu, anggota bomba juga dibantu enam bomba sukarelawan dan punca kebakaran serta kerugian masih dalam siasatan.

No comments:

Post a Comment