Search This Blog

Friday, January 24, 2014

Katrij tiruan RM1.5j dirampas


Seorang anggota penguat kuasa KPDNKK memeriksa katrij yang dirampas sewaktu serbuan di sebuah kedai di Taman Bayu Tinggi, Klang, semalam.
KLANG 23 Jan. - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) merampas katrij pencetak tiruan pelbagai jenama bernilai lebih RM1.5 juta dalam tiga serbuan di sini malam tadi.
Ketua Pengarahnya, Mohd. Roslan Mahayudin berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat daripada pemilik cap dagang dan risikan selama seminggu yang dijalankan oleh pihaknya.
Menurutnya, dalam serbuan di sebuah rumah dan dua premis perniagaan itu, seorang pengurus dan empat pekerjanya ditahan untuk diambil keterangan.
"Serbuan pertama dilakukan di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Nilam yang dijadikan tempat menyimpan katrij pencetak yang telah diproses manakala serbuan kedua dan ketiga di dua premis perniagaan di Taman Bayu Tinggi yang dijadikan tempat memproses katrij tiruan serta menyimpan barangan yang siap dan sedia untuk dipasarkan.
"Hasil pemeriksaan mendapati, mereka telah membeli katrij kosong dan mengisinya dengan dakwat sebelum meletakkannya di dalam kotak yang tertera pelbagai jenama terkenal seperti HP dan Canon untuk dijual kepada pemborong dan peniaga mengikut harga pasaran.
"Kami percaya selain Lembah Klang, katrij-katrij tiruan ini turut dijual di beberapa negeri lain berdasarkan rekod penghantaran yang kami temui," katanya di sini malam tadi.
Mohd. Roslan menambah, ketiga-tiga lokasi yang diserbu itu dipercayai dimiliki oleh individu sama.
Katanya, kesemua yang ditahan akan didakwa di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 yang membawa hukuman denda maksimum RM15,000 untuk setiap unit barang atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140124/je_07/Katrij-tiruan-RM15j-dirampas#ixzz2rGOYqEEl
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment